AMANAH ADALAH PENERUSAN PERJUANGAN YUSOF RAWA: SIAPA YANG DR MUJAHID MAHU PERBODOHKAN?

dipetik dari FB Dr. Kamarul Zaman Yusoff

Kasihan sungguh saya melihat para pemimpin AMANAH yang begitu terdesak mencari pengaruh hingga sanggup bertungkus-lumus menggunakan nama bekas pemimpin tertinggi PAS untuk memberikan legitimasi kepada penubuhan parti itu.

Sebelum ini, para pemimpin AMANAH diketahui menggunakan nama bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan nama bekas Presiden PAS, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, untuk dikaitkan dengan parti itu.

Malangnya, cubaan mereka menemui kegagalan dengan saya sendiri telah memberikan bukti-bukti konkrit bahawa perjuangan AMANAH adalah terlalu jauh menyimpang dari perjuangan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz dan Almarhum Datuk Fadzil.

Terbaru, Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, melalui tulisan yang disiarkan oleh akhbar The Star pada 26 Mei menggunakan pula nama bekas Presiden PAS merangkap bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Haji Yusof Rawa.

Di dalam tulisan bertajuk “Yusof Rawa Tried Middle Path” ini, Dr Mujahid cuba mengaitkan Almarhum Haji Yusof dengan perjuangan AMANAH dengan menyebutkan betapa AMANAH adalah penerusan kepada legasi Almarhum Haji Yusof.

Mengikut Dr Mujahid, Almarhum Haji Yusof, berbeza dari apa yang digambarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan, adalah seorang pemimpin yang bukan radikal, tetapi sederhana (moderate) dan terbuka (open).

Kesimpulan ini Dr Mujahid dakwa beliau perolehi dari tesis PhD beliau yang mengkaji mengenai konflik dalaman PAS dan perubahan yang dihasilkannya dan dari maklumat yang dikumpulkan mengenai kepimpinan Almarhum Haji Yusof.

Saya telah pernah membaca tesis PhD dan buku-buku tulisan Dr Mujahid bertajuk “Permata dari Pulau Mutiara: Sebuah Catatan Hidup Ayahandaku Haji Yusof Rawa”, “Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme” dan “Rejuvenasi PAS”.

Berdasarkan pembacaan saya ke atas tesis PhD dan buku-buku tulisan beliau ini, saya tidak pernah memandang tinggi tahap keintelektualan Dr Mujahid, malah pernah beberapa kali juga saya menulis mengkritik hasil-hasil tulisan beliau ini.

Sungguh kelakar melihat betapa Dr Mujahid bersungguh-sungguh cuba memaparkan kepada masyarakat umum kononnya beliau adalah pakar mengenai sejarah PAS walhal beliau adalah seorang bodoh yang cuba pula memperbodohkan orang lain.

Dakwa Dr Mujahid: “I did my PhD at Universiti Malaya focusing on Conflict in Islamic Party (PAS) and the change it brought. I gathered information on Yusof Rawa’s leadership as he was the architect of change from the post Asri crisis.”

Terfikir di dalam hati saya selepas membaca dakwaan Dr Mujahid ini, ada juga rupanya orang di dalam dunia ini yang cuba menipu masyarakat umum mengenai tesis PhD mereka seolah-olah orang lain tidak membaca tesis PhD mereka.

Untuk yang tidak tahu, tesis PhD Dr Mujahid adalah satu kajian yang bersifat lokal bukan bersifat nasional, iaitu kajian ke atas konflik organisasi semasa dalam PAS Melaka bukan kajian ke atas konflik organisasi dalam PAS Malaysia.

Hakikat bahawa tesis PhD Dr Mujahid bersifat lokal bukan bersifat nasional tertera di dalam tajuknya, iaitu “Konflik Organisasi dalam Parti Islam dan Kesannya terhadap Perubahan Organisasi: Kajian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Melaka”.

Dakwaan kononnya beliau telah mengumpulkan maklumat mengenai kepimpinan Almarhum Haji Yusof juga cukup melucukan kerana tesis PhD mahupun buku-buku tulisan beliau tidak diasaskan kepada rujukan primer, iaitu sumber dalaman PAS.

Pernah saya sebutkan di dalam beberapa tulisan saya sebelum ini betapa buku-buku tulisan Dr Mujahid, contohnya buku “Permata dari Pulau Mutiara”, pada muka surat 80-81, 84 dan 104-105, mengandungi terlalu banyak kesalahan fakta.

Untuk makluman, tarikh mula Almarhum Haji Yusof memegang jawatan Mursyidul Am PAS ialah 16 November 1987 (bukan 1983) manakala tarikh akhir beliau memegang jawatan Mursyidul Am PAS ialah 18 September 1994 (bukan 1989).

Pelik Dr Mujahid ini, walaupun saya telah menegur beliau mengenai perkara ini, kesalahan ini masih wujud, di mana di dalam tulisan terbaru beliau ini ada tertulis “My father, Yusof Rawa, resigned as the first Mursyidul Am in 1989”.

Kalau tarikh Almarhum Haji Yusof memegang jawatan Mursyidul Am PAS pun Dr Mujahid tidak tahu, maka sudah tentulah fakta-fakta lain mengenai PAS atau mengenai kepimpinan Almarhum Haji Yusof juga beliau lebih tidak tahu.

Sebenarnya, pendirian politik Almarhum Haji Yusof sepanjang beliau menjadi Presiden PAS boleh dilihat jelas di dalam ucapan-ucapan dasar beliau mahupun pelbagai kenyataan lain yang telah pernah beliau buat selaku Presiden PAS.

Perbandingan telus mengenai pendirian politik Almarhum Haji Yusof dengan pendirian politik para pemimpin AMANAH jelas membuktikan bahawa perjuangan AMANAH adalah terlalu jauh menyimpang dari perjuangan beliau.

Contoh paling nyata adalah mengenai obsesi para pemimpin AMANAH terhadap Maqasid Syariah seperti yang tertera di dalam usaha mereka untuk menganjurkan siri Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI) di seluruh negara.

Di dalam NUNJI 2017 contohnya, Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Ahmad Awang, menyebut betapa perjuangan AMANAH adalah untuk mencapai tujuan besar syariah seperti nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan sejagat.

Inilah juga yang sering ditekankan oleh Dr Mujahid sendiri sebelum ini, termasuk di dalam buku “Rejuvenasi PAS” yang menekankan mengenai “nilai-nilai yang dijadikan asas pemerintahan seperti ‘keadilan’, ‘saksama’ dan ‘syura’”.

Walhalnya, pendekatan AMANAH yang begini telah berulangkali ditolak oleh Almarhum Haji Yusof, termasuk melalui penegasan beliau di dalam ucapan dasar beliau pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-30 pada 14 dan 15 April 1984.

Tanya Almarhum Haji Yusof di dalam ucapan dasar beliau yang relevan sehingga sekarang ini: “Bagaimana nilai-nilai Islam akan lahir sedangkan hukum-hukum Islam dari sumbernya yang asal, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah, ditolak?”

Menariknya, penekanan terhadap Maqasid Syariah ini juga dijuarai oleh DAP yang telah, melalui Penang Institute, bersama G25, menganjurkan forum bertajuk “Maqasid Syariah in a Constitutional Democracy” pada 31 Oktober 2015.

Penganjuran forum ini telah dipuji oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang menyebut begini: “Maqasid Syariah are both universal and not formalistic, they can be accepted by all.”

Berdasarkan obsesi para pemimpin AMANAH terhadap Maqasid Syariah dan pendirian DAP mengenainya, perjuangan AMANAH sebenarnya mendekati perjuangan DAP, bukan mendekati perjuangan Almarhum Haji Yusof.

Baca juga:

Advertisements