Adalah menjadi suatu kesalahan yang boleh disiasat di bawah seksyen 121D Kanun Keseksaan jika kita mempunyai maklumat berkaitan usaha untuk memerangi, memecat, melucut kuasa YDP Agong, atau maklumat berkaitan rancangan, hasrat atau niat seseorang untuk memerangi, memecat, melucut kuasa YDP Agong, tetapi kita simpan dan tidak maklumkan kepada pihak berwajib.

Saya dikhabarkan, Sdr. Razali Abdul Rahman, bekas pemimpin DAP dan dahulunya orang kanan Lim Guan Eng, ada membuat pendedahan bahawa pada 5hb Mei 2011, berkumpul beberapa orang paderi seluruh Malaysia bersama dengan beberapa paderi luar negara beserta dengan beberapa tokoh penting DAP di sebuah restoran yang di Hotel Red Rock, di Pulau Pinang. Malah Utusan Malaysia pernah mendedahkan berhubung majlis ini.

Majlis makan malam tersebut disertai dengan sumpah tokoh-tokoh DAP bersama paderi-paderi Kristian untuk menjadikan Malaysia negara Kristian dan Perdana Menteri Malaysia nanti seorang yang beragama Kristian.

Saya difahamkan bahawa salah seorang yang hadir dalam majlis tersebut kini berada dalam jemaah kabinet sebagai seorang Menteri. Jika benar, maka pihak keselamatan MESTI melakukan siasatan. Ini suatu yang membahayakan. Jika seorang menteri itu pernah hadir majlis sumpah orang-orang Kristian dan menteri ini sembunyikan maklumat yang dia ada, maka itu adalah suatu kesalahan.

Sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai kesalahan-kesalahan terhadap seksyen 121, 121A. 121B, 121C oleh seseorang yang terpaksa memberitahu

Barang siapa yang ketahui atau yang ada sebab mempercayai bahawa apa-apa kesalahan yang boleh diseksa di bawah seksyen 121, 121A. 121B atau 121C telah dilakukan, dengan sengaja meninggalkan daripada memberi apa-apa maklumat berkenaan dengan kesalahan itu, yang ia terpaksa di sisi undang-undang memberi, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Jika benar menteri tersebut hadir maka dia mempunyai maklumat bahawa ada usaha sekelompok orang yang hendak melakukan kesalahan di bawah seksyen 121B Kanun Keseksaan.

Kesalahan-kesalahan terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri

121B Barang siapa merancang, mengada-ada, mereka-reka atau berusaha akan pemecatan atau perlucutan Yang di-Pertuan Agong daripada pertuanan Malaysia atau perlucutan atau pemecatan Raja, bakal-bakal atau pengganti-pengganti, atau Yang di-Pertua Negeri daripada pemerintahan sesebuah Negeri, atau mempertakutan Kerajaan Malaysia atau mana-mana Kerajaan Negeri dengan jalan kekerasan jenayah atau menunjukkan kekerasan jenayah, hendaklah diseksa dengan penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda.

Dengan beradanya menteri itu dalam majlis tersebut, bermakna menteri tersebut tahu dan maklum bahawa ada sumpah janji orang Kristian untuk menjadikan Malaysia Negara Kristian. Maka itu adalah suatu kesalahan yang menyanggahi “Sumpah Jawatan YDP Agong” untuk memelihara Agama Islam setiap masa di mana Agama Islam adalah Agama bagi Persekutuan.

Menteri itu tidak boleh menafikan dengan helah dia tidak tahu. Ini kerana menteri itu sendiri bersama berdiri mengangkat tangan bersumpah.

Kesalahan ini adalah jelas. Dan menjadi kesalahan yang besar dan nyata bahawa menteri tersebut menyembunyi maklumat tentang rancangan pemecatan atau perlucutan Yang di-Pertuan Agong daripada pertuanan Malaysia .

Advertisements