KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Kira-kira 50 orang daripada keturunan Wan Ngah Wan Mohd Ali singgah beraya di kediaman anaknya, Allahyarham Wan Abdul Razak di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payung, Marang, di sini, sempena sambutan Aidilfitri.

Dalam pertemuan mesra itu, mereka mengadakan majlis tahlil yang dipimpin oleh Pegawai Perubatan Kanan, Hospital Kemaman, Dr Mat Noh Karim untuk disedekahkan kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

Seorang ahli keluarga, Karim Omar yang juga Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), berkata Wan Ngah yang berasal dari Kampung Aur, bandar Kuala Terengganu berpindah ke penempatan di hadapan Masjid Raja Bukit Besar, pada awal 1950-an.

Katanya, beliau yang meninggal dunia pada 1970 adalah adik ipar bekas Menteri Besar Terengganu pada 1940-an, Datuk Jaya Perkasa Da Omar Mahmud.

“Keluarga besarnya kini terdiri daripada lebih 300 orang yang menetap di seluruh negara. Wan Najmi, anak bongsu Wan Ngah, kini berumur lebih 77 tahun, adalah satu-satunya anak yang masih hidup,” katanya.

Isteri Allahyarham Wan Abdul Razak, Atikah Ibrahim, 72, berkata beliau amat gembira dengan kunjungan sanak-saudara yang datang dari jauh dan dekat, untuk bertanya khabar.
“Bayangkan, 12 kereta tiba-tiba muncul serentak di pekarangan rumah dan buat seketika keadaan menjadi riuh-rendah dengan gelak ketawa. Saya pasti rindu saat begini selepas ini,” katanya.

Jumaat, 7 Julai 2017 – 9:38PM

Oleh Wan Jailani Razak wanjai@bh.com.my
Advertisements