Selesai pindaan Akta 164 diluluskan di Parlimen lewat malam 9hb Ogos 2017, timbul pelbagai kritikan terhadap pindaan tersebut. Banyak juga kritikan yang pelbagai itu nampaknya tersasar dan mengelirukan lagi masyarakat yang sudah keliru.

Yang paling ketara ialah apabila ada yang mengulas pindaan Akta 164 ini dengan masih bercakap tentang isu status agama anak seperti mana yang disebut dalam cadangan asal pindaan Seksyen 88A. Seksyen 88A ini sebenarnya telah pun ditarik balik.

Kenyataan rasmi pengguguran Seksyen 88A telah pun dibuat oleh Menteri Azalina pada 7hb Ogos 2017. Masalahnya di sini, di kalangan yang mengulas, ada yang terbawa-bawa dengan sentimen bantahan sebelum ini tanpa meneliti perkembangan terkini.

Pada cadangan pindaan yang asal Seksyen 88A inilah yang menjadi kebimbangan kita umat Islam. Dengan digugurkan, maka apa yang hendak dibisingkan lagi.

Seorang AJK Pusat PAS mengeluarkan kenyataan “RUU 164 : TRAGEDI MALANG BUAT UMAT ISLAM DI NEGARA INI”. Ternyata Dr. Ridhuan tidak teliti dalam kupasannya. Malah sudah ada pun seorang aktivis PAS lain, Nazrul Nazir, yang menjawab (di FB beliau) beberapa kekeliruan yang disebut oleh Dr. Ridhuan.

Dalam kekeliruan yang berlaku ini, ramai yang tidak sedar bahawa cadangan pindaan yang dibawa ini telah pun diperjuangkan oleh Almarhum Profesor Ahmad Ibrahim, lebih 30 tahun lalu – demi membela nasib mualaf yang teraniaya.

Secara mudahnya, Akta 164 ialah akta perkahwinan orang bukan Islam. Bagi orang Islam ianya tertakluk di bawah Undang-undang Keluarga Islam.

Bayangkan suasana sepasang suami-isteri bukan Islam yang telah berkahwin, salah seorangnya memeluk agama Islam. Mualaf yang sudah beragama Islam tidak boleh membubarkan perkahwinan bukan Islamnya. Hanya pasangannya yang tidak Islam sahaja boleh lakukan.

“51. (1) Jika satu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam, pihak yang satu lagi itu yang tidak masuk Islam boleh mempetisyen untuk perceraian”.

Bermakna, jika tidak dipinda, nasib mualaf akan teraniaya kerana bergantung semata-mata atas bekas pasangannya yang bukan Islam untuk membubarkan perkahwinan sivil mereka. Dan segala implikasi lain berkaitannya menjadi tergantung.

Di dalam perbualan ringkas dengan sahabat saya, Prof. Naser Disa, Ketua Eksekutif IKSIM, beliau menekankan bahawa fokus pindaan ini ialah Seksyen 51. Selama ini hanya pasangan yang tidak memeluk Islam sahaja yang boleh membubarkan perkahwinan sivil mereka, manakala yang memeluk Islam dinafikan hak untuk berbuat demikian.

Pindaan Seksyen 51 ini langsung TIDAK bercanggah dengan Seksyen 46 Akta Keluarga Islam kerana fungsi Seksyen 46 adalah untuk membolehkan mualaf berkahwin lain di bawah Syariah sekalipun perkahwinan sivilnya masih belum dibubarkan secara rasmi di bawah undang-undang sivil. Maka dengan pindaan baru ini, ialah telah memberikan hak untuk orang Islam yang mualaf tadi.

Beliau menambah lagi, kerap kali suasana tegang tercetus apabila mereka berebut anak. Pasangan muslim pergi ke mahkamah Syariah, manakala yang bukan Islam tidak boleh ke mahkamah Syariah. Yang bukan Islam akan cabar keputusan mahkamah syariah itu di mahkamah Sivil dan menjadikan ia kontroversi. Mereka sengaja tidak mahu bubarkan perkahwinan itu di mahkamah sivil kerana mahu terus tindas yang peluk Islam dengan nafkah hingga akhir hayat.

Begitu juga dengan hak jaga anak. Bila mahkamah Syariah buat perintah, pasangan yang enggan peluk Islam akan cabar di mahkamah Sivil dan ketepikan perintah itu. Sekarang dengan pindaan ini pihak yang memeluk Islam sendiri boleh tuntut hak penjagaan itu di mahkamah Sivil. Yang pentingnya ialah peguam bagi pihak Islam mesti pandai berhujah di mahkamah sivil juga. Jangan hanya jadi jaguh dalam mahkamah Syariah sahaja.

Beliau memberi contoh senario, bayangkan selama ini jika yang mualaf itu perempuan, bekas suaminya yang bukan Islam sengaja enggan bubarkan perkahwinan sivil mereka, sampai bila dia terpaksa gantung tak bertali? Jika terus membiarkan pertelagahan antara yang memeluk Islam dengan yang tidak memeluk Islam berterusan menerusi media, kemungkinan besar pihak yang memeluk Islam akan terus terjejas haknya jika dia enggan menyelesaikan kewajipan atau haknya menerusi proses mahkamah.

Sebab itu apabila berdepan degan sesuatu isu, kita perlu mengambil sikap tabayyun. Sabar, periksa dan kaji dahulu. Jangan terlalu terpengaruh dengan sesuatu kepentingan membuat kita salah pertimbangan.

Juga yang sangat penting ialah untuk kita melihat pelbagai isu itu dalam perspektif yang lebih luas. Meletakkan keutamaan yang sewajarnya.

Contoh;

Ada sahabat-sahabat menceritakan kehebatan Raja Salman yang kononnya berani menegur Presiden Trump yang memegang gelas tangan kiri supaya guna tangan kanan. Tetapi Raja Salman bersalam dengan isteri Trump. Mana sunat? Mana haram?