Pelampau evangelis Kristian mengguna ayat 82 dari surah Al-Maaidah sebagai salah satu ayat untuk mendekati mangsa sasaran orang Islam. Mereka mengguna ayat-ayat dari Al-Quran untuk menipu mangsa mereka.
Dalam kaedah CAMEL (CAMEL Method), pendakyah Kristian tidak lagi mengguna Bible untuk menarik orang Islam. Bagi mereka, Bible itu menjadi penghalang (barrier) untuk orang Islam menerima ajakan mereka. Maka, ayat-ayat Al-Quran yang mereka guna dianggap sebagai jambatan (bridge) untuk mereka mendekati orang Islam dan orang Islam akan lebih selesa dengan ayat-ayat Al-Quran berbanding dengan mengguna Bible.
Strategi hasutan dan tipu helah kaedah CAMEL ini adalah kaedah terbaru yang mereka hasilkan untuk memurtadkan orang-orang Islam yang tidak mendalami asas dan ilmu agama mereka. Kaedah ini adalah khusus untuk menipu orang-orang Islam. Kaedah ini adalah sangat berkesan terutama jika pendakyah Melayu (pendakyah yang asalnya Muslim – MBB) sendiri yang menggunanya.
[baca lanjut – MBB – Muslim Background Believer]
Umumnya bagi orang awam, apabila ada orang yang mendekatinya untuk berhujah berkenaan agama dengan membawa Bible, mereka akan rasa tidak selesa atau lazimnya mungkin menimbulkan persoalan bahawa orang tersebut telah sesat atau mungkin telah murtad serta ingin mendakyahnya untuk masuk Kristian. Ini merupakan suatu halangan untuk pendakyah Kristian.
Namun, apabila “pendakyah Kristian” (yang tidak menunjukkan identitinya sebagai missionari) bercakap pasal ayat-ayat Al-Quran, orang-orang Islam akan lebih terbuka untuk menerima dan meneruskan perbincangan. Apabila pancing ini sudah diterima, maka, pendakyah Kristian itu (seorang Islam yang telah murtad – MBB) akan mula menyusun hujah-hujah yang sudah dilatih dengan menggunakan beberapa petikan ayat yang sudah mereka pilih-pilih untuk diselewengkan tafsirannya.
[baca juga: Dakyah Kristianisasi Mengguna Ayat-ayat Al Quran Untuk Menipu dan Mempengaruhi Orang Islam]
Biasanya, masyarakat awam yang kurang ilmu asas agama, terutama anak-anak muda yang hanya belajar agama setakat di sekolah sekadar untuk lulus peperiksaan, tidak mempunyai sandaran hujah untuk menangkis tipu helah dusta pendakyah Kristian. Pendakyah-pendakyah ini telah dilatih dengan pelbagai selok belok hujah untuk menjawab pelbagai kemungkinan jawapan dari mangsa.
Di antara kaedahnya yang diguna ialah memetik ayat-ayat dari surah Yunus:94, Al-Maaidah:82, An Nisaa:136 dan Al An’aam:115 (sebagai contoh).
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong. 5:82
Dalam menghujahkan ayat Al-Maaidah:82, di atas, mereka akan mengatakan kenapa kita perlu benci dengan orang Kristian, sebab dalam Al-Quran sebut bahawa “orang Nasrani dekat sekali mesranya dengan orang Islam. Orang Nasrani itu orang Kristian. Quran sebut mereka baik dengan kita!”
Bagi mangsa yang kurang asas ilmu agama akan mudah terpedaya. Sedangkan ayat tersebut bersambung kisahnya dengan ayat seterusnya, ayat 83. Disebut siapakah orang Nasrani tersebut.
Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w). 5:83
Ayat ini berkisar kisah Raja Najasi Habsah yang menangis gembira apabila mengetahui bahawa di dalam Injil disebut tentang kedatangan Nabi akhir zaman, Muhammad s.a.w., dan Raja Najasi ini memeluk agama Islam. Ini kerana pendita-pendita mereka “tidak berlaku sombong”. Mereka jujur dengan kebenaran kisah Nabi akhir zaman yang telah jelas ada di dalam kitab Injil.
Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!” 61:6
Malangnya, ayat 82 surah Al Maaidah turut diguna oleh orang Islam sendiri untuk mesra dengan orang Kristian dan menjustifikasikan kerja jahat pelampau evangelis Kristian. Asri MAZA dipetik Malaysian Insider menyebut “Orang yang dekat dengan Muslim ialah Kristian. Al-Quran kata kamu akan dapati orang yang paling dekat perasaan sayangnya pada orang Islam itu adalah Kristian” (MalaysianInsider 17 Mei 2014).
Recent Comments