Kuala Lumpur (Berita Harian): Kementerian Kesihatan memberi amaran, mana-mana pihak yang menjual air Zam Zam di negara ini, boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hukuman maksimum itu adalah mengikut Akta Makanan 1983.
Beliau berkata, penjualan air Zam Zam adalah dilarang di Malaysia, selaras larangan oleh kerajaan Arab Saudi terhadap tindakan itu.
Katanya, Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air berkenaan secara percuma kepada jemaah haji, umrah dan pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti terhad ketika berlepas pulang dari Arab Saudi.
Dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap penjualan air berkenaan.
PUTRAJAYA 9 Dis. (Utusan) – Kementerian Kesihatan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zamzam berikutan larangan yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi menjual air tersebut di mana-mana kedai di seluruh Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka yang disabitkan kesalahan menjual air zamzam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Sejak 2012 sehingga Oktober ini, sejumlah air zamzam bernilai RM58,191.80 telah dirampas melalui hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, perkara itu telah dipersetujui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memandangkan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zamzam berdasarkan Seksyen 4 (1) (f) Akta Makanan 1983.
Recent Comments