Pengguna media sosial terlalu mudah tertipu untuk percaya dan sebarkan cerita dan khabar palsu. Kebanyakannya menjadi tular kerana ramai yang tidak berpegang kepada ayat yang Allah S.W.T. turunkan untuk kita semua berwaspada dengan khabar dan berita yang kita terima.
Saya ingin senaraikan beberapa mesej yang diterima pada tahun ini yang terbukti palsu (tidak mengikut urutan tertentu). Sesetengahnya adalah yang lama tetapi diulang tular oleh orang yang mungkin belum pernah terdedah dengan mesej yang telah pernah ditularkan sebelumnya.
1. Jari Palsu Untuk Diguna Dalam PRU14
Kononnya BN telah membawa masuk jari-jari palsu untuk pengundi boleh mengundi berulang kali. Berkata ADUN Batu Tiga Rodziah (PKR) “kita dapati ada jari-jari palsu yang dijual atau diimport atau ditempah dari China“. Berita palsu ini disiarkan oleh portal Selangorkini pada 27 Februari 2017.
Sungguh mengaibkan bagi seorang ADUN membawa cerita palsu sebegini kerana gambar jari-jari palsu yang dituduh tersebut diambil dari laporan berita tentang jari-jari palsu di Jepun (BUKAN China) untuk tujuan prostetik bagi mereka yang jari terpotong.
Baca: ADUN Mana Yang BODOH Sangat sebar fitnah jari palsu untuk mengundi?
dan Fitnah Pra-PRU14 [GUNA JARI PALSU] Sudah Bermula – JAHAT!
2. Perdana Menteri Kanada Trudeau Peluk Islam
Beberapa portal berita, termasuk Harakah, memetik laporan dari Vatican Enquirer berhubung PM Trudeau memeluk Islam. Ini adalah jelas sesetengah kita tidak teliti dalam memetik sumber berita. Vatican Enquirer telah dengan jelas memberitahu bahawa laman sesawangnya menyiarkan berita-berita rekaan satira.
Gambar-gambar yang disiarkan untuk membukti berita tersebut sebenarnya diambil ketika PM Trudeau hadir majlis berbuka puasa masyarakat Islam di Kanada.
Baca: Perdana Menteri Kanada Trudeau Peluk Islam – Lapor Vatican Enquirer
3. Video Jambatan Kaca Zhang Jia Jie Di China Runtuh
Sebenarnya video tersebut diambil dari satu video berdurasi lebih dua minit rakaman perarakan mengusung jenazah di Vietnam yang melalui sebuah jambatan gantung. Tetapi oleh kerana beban orang yang terlalu ramai maka ia runtuh.
Jahatnya orang yang mula edit video tersebut ialah dipotong bahagian awal video yang menunjukkan kejadian dari awal yang menunjukkan keranda diusung melalui sebuah jambatan yang sempit. Bencana tersebut sebenarnya berlaku pada bulan Februari 2014.
Seronokkah kita melihat orang dalam kesusahan dan bencana?
Baca: Video Jambatan Kaca Zhang Jia Jie Di China Runtuh – PALSU
4. Orang Jerman Protes Harga Minyak Naik
Cerita ini sangat ramai yang hantar kepada saya. Kononnya rakyat Jerman sepakat untuk protes kenaikan harga minyak maka mereka tinggalkan kenderaan mereka sesak di jalan-jalan raya di Jerman.
Ianya jelas menunjukkan bahawa mereka yang kongsikan cerita ini langsung tidak teliti. Gambar yang dilampir jelas muka orang-orang Cina langsung bukan rupa orang Eropah.
Baca: Dahsyat Betul … Semua Orang Di Jerman Sudah Jadi Muka Cina!
5. Burung-burung Serang Pesawat British Airways
Cerita ini lagilah menghairankan kerana yang mengirimkan kepada saya adalah pesara pegawai tentera yang mempunyai “bintang” di bahu. Hairannya saya ialah kerana dengan pengalamannya dalam bidang itu pun tidak dapat membezakan gambar-gambar yang beliau tularkan.
Ditambah pula jalan ceritanya ialah pesawat British Airways dalam pejalanan ke Amerika Syarikat terpaksa mendarat cemas di negara China. Entah peta mana yang beliau guna semasa dalam agensi pertahanan negara.
Baca: Burung-burung Serang British Airways … Tak Habis-habis Diperbodohkan
6. Boikot Produk Trump – Code 57
Ini pun ada! Yang tolong sebar itu tahukah apa yang dia baca dan sebar? Atau tidak baca hanya sebar?
Mesej yang bertahun lalu dipinda dan ditular kali ini untuk Trump. Mengikut simpanan, mesej asal pernah tular sekitar tahun 2008.
Mesej asalnya ialah ketika protes terhadap kartunis dari negara Denmark yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. tetapi kebodohan yang edit – hanya tukar Denmark kepada Trump. Kaki kongsi pun sama dalam kebodohan.
Baca: Trump Akan Bakar Al-Quran – Boikot Product Code 57
7. Lebuhraya Baru Rawang By-Pass Runtuh
Ini pun cepat orang kita percaya. Tanoa usul periksa terus cepat menuduh Kerajaan dengan pelbagai kata-kata nista.
Rupa-rupa insiden yang berlaku di Equador pada tahun 2016.
… dan beberapa lagi tular palsu yang mungkin satu hari nanti dikumpulkan semuanya 🙂
TETAPI
Dalam tertularnya pelbagai cerita palsu di atas dan beberapa lagi, ada beberapa mesej yang sering kali diulang tular. Berkali-kali. Di antara yang klasik yang memburukkan Al Marhum Tuanku Sultan Johor. Cerita tentang Prebet Adam Mengamuk Di Chow Kit Dan dikatakan sebab Al Marhum Tuanku Sultan Johor bunuh adik preber Adam. Walaupun ianya jelas palsu – masih ada orang percaya. Akhirnya Hampir Seluruh Rakyat Hina Dan Kutuk Al Marhum Tuanku. Bersediakan anda untuk tanggung dosa?
Juga tentang … Fenomena Kedudukan Bulan Di Atas Kaabah. Terdapat pelbagai versi – sering diubahsuai dan diulang tular.
Malah ada satu lagi mesej yang sering menjadikan orang ramai merasakan Kerajaan tidak ambil tindakan apa-apa ialah apabila dikatakan Persatuan Melayu Murtad IFC telah diluluskan pendaftarannya oleh Kerajaan. Malah Pendaftar Pertubuhan ROS Nafi Lulus IFC, Persatuan Melayu Murtad, Persatuan Melayu Kristian.
Suatu yang penting dan mesti kita timbang dalam menerima dan menyebarkan berita ialah sikap TABAYYUN. Apakah dengan laju kita menekan butang kongsi itu akan menambah beban dosa di akhirat atau ianya membantu kita untuk selamat nanti.
6 comments
1 January, 2018 at 6:47 pm
World News Daily Report – PALSU !!! | Karim's Blog
[…] [Anda di antara orang yang sebar Cerita-cerita Palsu Yang Ditularkan 2017?] […]
5 January, 2018 at 10:07 am
Gejala WhatsApp – Mencari Saham Akhirat Atau Membawa Beban Dosa? | Karim's Blog
[…] [Adakah anda turut sebarkannya? – Cerita-cerita Palsu Yang Ditularkan 2017] […]
5 January, 2018 at 10:08 am
Burung-burung Serang British Airways … Tak Habis-habis Diperbodohkan | Karim's Blog
[…] [Adakah anda turut sebarkannya? – Cerita-cerita Palsu Yang Ditularkan 2017] […]
5 January, 2018 at 10:18 am
Anda Tulis Anda Tanggung – Anda Sebar Anda Tanggung | Karim's Blog
[…] [Cerita-cerita Palsu Yang Ditularkan 2017 – adakah anda turut sebarkannya?] […]
31 January, 2018 at 5:15 pm
Mesej Bulan Mengelilingi Kaabah – Usah Percaya | Karim's Blog
[…] [BACA: Cerita-cerita Palsu Yang Ditularkan 2017] […]
30 March, 2018 at 9:15 am
Apabila Menerima Mesej Kematian Ibu Bapa Anda | Karim's Blog
[…] Cerita-cerita Palsu Yang Ditularkan 2017 – adakah anda turut sebarkannya? […]