You are currently browsing the tag archive for the ‘Nakhaie Ahmad’ tag.

Tulisan ini adalah kiriman Sdr. Faizal Riduan (http://www.faizalriduan.blogspot.com/) bagi menjawab bantahan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya (Semangat 1 Malaysia Dikhianati Agensi Kerajaan? – yang turut telah dijawab oleh Dr. Asmadi Mohamed Naim) terhadap artikel Ustaz Nakhaie AhmadPenyelewengan Wahabi” di dalam Majalah Milenia Muslim Ogos 2010 (yang mana Ustaz Nakhaie sendiri telah juga menjawab Dr. Juanda di sini: Nakhaie: Semua orang tahu Perlis beza)

——–

Tajuk tanpa prangka ini bukan datang dari saya tetapi saya ambil dari kenyataan Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya sendiri, “Orang yang berani berfatwa adalah orang yang berani terjun ke dalam api neraka” dari kolum Bicara Mufti di dalam majalah Milenia Muslim edisi Oktober 2009, edisi yang sama memberikan kemenangan untuk dua tahun berturut dalam anugerah berprestij kebangsaan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2010 bagi kategori Perkhidmatan Awam Cemerlang. Jika benar dakwa Dr Juanda majalah ini dibiayai oleh sebuah agensi agama kerajaan persekutuan maka kredit lebih berganda wajar diberikan kerana untuk pertama kali majalah ‘kerajaan’ boleh mengalahkan bukan sahaja majalah tetapi akhbar ‘swasta’ yang lain.

Saya asalnya lebih suka untuk mengambil sikap al-tawaqquf iaitu berdiam diri dari pertikaian dua pihak orang-orang tua agama. Apatahlagi saya bukanlah ahli dalam bidang Fiqh. Tidak perlu menjadi ‘nasi tambah’ dan cukup sekadar menjadi ‘beras di tepi gantang’, masuknya tak bertambah, buangnya tak berkurang.

Sejujurnya sebagai orang muda saya suka meraikan keberanian bertindak balas mufti berusia 38 tahun yang muda ini sama dengan mufti sebelumnya iaitu Dr Mohamad Asri Zainal Abidin. Umur yang hampir sama dengan Rasulullah SAW ketika diangkat menjadi nabi dan rasul. Saya teringat sosok pemuda yang berani iaitu Saidina Ali Abi Talib yang sekebetulan meninggal dunia pada bulan Ramadan. Tidak salah rasanya saya mengaitkan nama salah seorang dari 10 sahabat Rasulullah SAW yang dijamin Baginda SAW sebagai ahli syurga. Tetapi barang jangan dilupa dari ahli syurga inilah juga munculnya kumpulan Khawarij dan Syiah apabila pandangan melampau mereka untuk menjadi lebih ‘Ali dari Ali’. Mudahnya idola yang terbaik sekalipun bisa pegangan amalannya disalah tafsir oleh pengikutnya sendiri. Dan inilah yang menimpa juga kepada Muhammad bin Abdul Wahab yang dikatakan pengasas Wahabi.

Saidina Ali seorang pahlawan gagah yang boleh berhadap dengan musuh terhebat secara berdepan satu lawan satu bukan dengan muslihat dan tipu helah sebagaimana beliau diserang hendap dari belakang ketika dalam solatnya. Di dalam satu perlawanan ketika Saidina Ali nyaris dapat membunuh musuhnya seorang Yahudi tetapi baliau tidak meneruskan tindakannya apabila mukanya diludah oleh si Yahudi itu tadi. Saidina Ali bimbang niatnya berjihad bukan lagi kerana Allah SWT sebaliknya kerana nafsu amarahnya itu. Mungkin di sini terdapat perbezaan yang ketara dengan tindakan Mufti Perlis yang ‘terlebih lajak dari laju’ dan kemudian bertukar dari fitrah menjadi fitnah apabila menuduh sebuah majalah dakwah Milenia Muslim sebagai agen agensi agama kerajaan persekutuan untuk menyerang kedaulatan sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia.

Ironisnya tidak sampai setahun sebelumnya beliau sanggup pula ditemubual oleh majalah yang sama untuk empat muka surat dengan perbezaan hanya selang enam muka surat dari kolum Kembara Minda yang diisi oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ketika itu Datuk Mohd Nakhaie Ahmad. Tiada pula kedengaran majalah tersebut ditohmah sebagai agen Wahabi atau agen negeri Perlis untuk memecah-belahkan keharmonian amalan mazhab Syafie di Malaysia?

Peringatan Saidina Ali terhadap golongan Khawarij yang memanipulasikan slogan agama dengan hujahnya, “Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” mungkin boleh dibaca secara terbalik iaitu “Perkataan yang batil, tetapi bertujuan benar” jika saya masih mahu berbaik sangka dengan kenyataan Dr Juanda ini. Jangan pula selepas ini saya didakwa-dakwi sebagai penyokong Syiah sebagaimana dicop ke atas dahi Faisal Tehrani. Kami mungkin berkongsi nama yang sama tetapi di dalam berpandangan kami berhak untuk berbeda.

Terdahulu saya cuba berlaku adil dengan menganggap pendapat mufti mungkin terkhilaf kerana beliau bukan pembaca tegar Milenia Muslim kerana jika Dr Juanda hanya membaca dua keluaran majalah tersebut sahaja iaitu bulan Oktober 2009 yang mengeluarkan temubualnya dan terbaru Ogos 2010 yang memuatkan tulisan kontroversi kolumnis Datuk Nakhaie, beliau tentunya boleh membaca persamaan maklumat penerbitan majalah yang diterbitkan oleh MMP Communications Sdn Bhd dan perubahan pada gugurnya ‘dengan kerjasama’ YADIM. Bahkan Datuk Nakhaie yang masih menjadi kolumnis, kini telah pun menjadi mantan Yang Dipertua YADIM. Dari sudut formaliti jika ada sekali pun, hubungan rasmi tersebut sudah berakhir.

Sungguhpun begitu disebalik ‘helaian’ majalah sebenarnya sejak dahulu lagi hubungan Milenia Muslim bersama YADIM bukan sepertimana hubungan majalah Visi bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) atau majalah Cahaya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertindak secara langsung sebagai penerbit sekaligus pembiaya dana. Sebaliknya kerjasama dua agensi berkenaan lebih kepada YADIM sebagai pelanggan dengan membeli secara tetap dan bukan melabur sebagaimana pemegang saham. MMP Communication adalah penerbit de facto sejak dahulu lagi tetapi menggunakan kerjasama permit yang diperolehi oleh YADIM. Adapun pemberian majalah percuma di masjid-masjid, surau-surau, agensi-agensi agama dan juga institut-institut pengajian tinggi digerakkan oleh program ‘Tanggungjawab Sosial Korporat’  (baca dakwah) oleh syarikat korporat termasuk sumbangan penerbitnya sendiri. Ia langsung tidak dibiayai oleh wang kerajaan persekutuan. Wajarkah kerajaan persekutuan mendapat pahala percuma atas usaha dakwah yang digerakkan oleh pihak swasta? Atau bolehkah dosa (jika ada) tulisan Datuk Nakhaie itu dipindah bahu kepada sebuah agensi agama kerajaan persekutuan?

Begitu juga dengan tindakan Dr Juanda membesarkan skala konflik yang asalnya adalah masalah pegangan peribadi sehingga melibatkan negeri dan kini negara menjadi galang ganti. Agak lelucon untuk membaca hujah doktrin kenegerian dan persekutuan kenegaraan serta hubungkaitnya dengan DYMM Tuanku Raja Pemerintah negeri Perlis sebagai Ketua Agama Islam sementara dalam masa yang sama mantan Mufti Perlis, Dr Asri sendiri berhadapan dengan tuduhan di mahkamah mengajar tanpa tauliah dan izin dari DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri. Malah syor campurtangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengkaji semula pengurusan dan peranan agensi pelaksana urusan agama bagi pihak pemerintah dan Raja-Raja Melayu oleh Dr Juanda pada 2 November 2009 jelas kontras dengan pendapatnya terbaru ini. Nampaknya seorang mufti boleh mempunyai dua pandangan yang berbeza untuk satu latar kes yang hampir sama.

Sungguhpun begitu, saya mempertahankan negeri Perlis dari ketidak-adilan untuk dilabel tanda sebagai Wahabi walau ia mungkin mencabar status qua ahli Sunnah wal Jamaah tetapi bisikkan suara pencerahan tidak sewajarnya dipekakkan dengan kekerasan terjahan suara ijmak jemaah dan ego kekuasaan alim ulama ‘tyranny of the majority’. Mungkin dalam beberapa perkara ada asas persamaan tetapi belum tentu ianya serupa sebagaimana idea tajdid yang diperjuangkan dalam Tema Tajdid, Astora Jabat dengan slogan “Mencabar minda muslim pasca moden” dan Minda Tajdid, Dr Asri dengan tema “Mengemudi bahtera perubahan minda”. Hakikatnya pandangan tajdid dari kacamata Astora Jabat dan Dr Asri secara sekali baca seakan sama tetapi tafsiran mereka saling kontra sehingga pernah bertentang empat mata di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Begitu juga dengan Datuk Nakhaie dan Dr Juanda nampak berbeza tetapi berkongsi pegangan yang sama dengan penggunaan kekerasan cengkaman kuasa dengan tangan untuk menutup mulut dalam dialog mulut ke mulut. Ketika Datuk Nakhaie mengesyorkan ISA kepada penganggu keharmoniam amalan beragama Islam di negara ini, jawapan balas balik Dr Juanda mengaitkan kewajaran Akta Hasutan kepada tulisan beliau. Saya teringat bagaimana lemahnya budaya berdialog sehingga mengadu kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan untuk ‘memadamkan’ tulisan kontroversi kolumnis Bicara Agama, Mingguan Malaysia dan editor Al-Islam, Astora Jabat menjadi pilihan utama sedang banyak inisiatif dialog boleh mematahkan hujah. Mungkin kerana sikap anti-ofensif dan anti-defensif, sebaliknya alim ulama terus nikmat di syurga pertapaan tanpa sedar golongan jahil yang gagal didakwahi menjadi seperti Akhbar Ali apabila menyerang alim ulama yang gagal berhujah dengan akal sihat sebagai golongan berserban ketat yang kekurangan oksigen di dalam kepala.

Kita perlu menerima kenyataan bahawa alim ulama kita masih gagal mengambil hikmah dari perbezaan pendapat antara mazhab dan tanpa sedar telah menyempitkan tafsiran Surah Hud, ayat 118-119, “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia.”

Sebagai umat Islam kita patut belajar berbaik sangka dan berbalas baik walau dihantar dengan kejahatan apatahlagi kepada alim ulama yang lebih dahulu mengenal maksud Surah Fussilat ayat 34, “Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan.  Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara engkau dan  dia ada permusuhan (berubah) seolah-olah teman yang sangat setia.”

Bagi yang ingin menjadi mujtahid, tidak salah untuk berguru dengan Muhammad bin Abdul Wahab yang secara berterus terang berani mengaku sebagai seorang mujtahid dengan tetap pendirian, “Bahawa mazhab kami dalam Usuluddin (Tauhid) adalah mazhab ahli Sunnah wal Jamaah, dan cara (sistem) pemahaman kami adalah mengikut cara ulama salaf. Sedangkan dalam hal masalah fikah kami cenderung mengikuti mazhab Ahmad bin Hanbal. Kami tidak pernah mengingkari seseorang bermazhab dengan salah satu daripada mazhab yang empat. Dan kami tidak mempersetujui seseorang bermazhab kepada mazhab luar dari empat mazhab seperti mazhab Rafidah, Zaidiyah, Imamiyyah dan lain-lain lagi. Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil. Malah kami memaksa mereka supaya bertaklid (ikut) kepada salah satu dari mazhab empat tersebut.”

Sungguh begitu, beliau masih merendah diri dengan menafikan dirinya sebagai mujtahid mutlak sehingga terlepas pegang menjadi  bebas daripada mana-mana mazhab, “Kami tidak pernah sama sekali mengaku bahawa kami sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlak, juga tidak seorang pun di antara para pengikut kami yang berani mendakwa dirinya dengan demikian. Hanya ada beberapa masalah furuk yang kalau kami lihat di sana ada nash yang jelas, baik dari Al-Quran mahupun sunnah, dan setelah kami periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkannya atau yang mentaskhsiskannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta dipegang pula oleh seorang imam empat, maka kami mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami anuti.”

Kepada yang mengakui dirinya adalah ahli Sunnah wal Jamaah dari mazhab Syafie ada baiknya untuk berlapang dada sebagaimana pesan Imam Syafie, “Pendapatku adalah benar, tetapi berkemungkinan salah dan pendapat orang lain daripada ku adalah salah tetapi berkemungkinan benar.” Malah Syeikh Muhammad Ali al-Sayis menukilkan dalam kitabnya, “Metode Imam Ahmad dalam berijtihad sama dengan manhaj Imam Syafie kerana beliau belajar daripadanya.”

Nah sekarang persoalan Wahabi saya tinggalkan kepada alim ulama. Yang menjadi tanda soal ialah hukum ‘fatwa’ Mufti Perlis terhadap majalah dakwah Milenia Muslim. Mufti juga adalah manusia biasa tidak terlepas dari khilaf salah tetapi jika benar lajak lanjurnya perlu pula berani tangani seperti Imam Abu Hassan Ashaari yang apabila menyedari dirinya tersesat kepada fahaman Muktazilah, beliau membuat pengakuan mengistiharkan dirinya kembali kepada Islam di atas mimbar sambil membuang jubahnya.

Saya yang kurang arif bahkan naif agama sekadar tahu sesiapa yang membuat fitnah walau keluar dari mulut seorang alim ulama sebenarnya telah meletakkan sebelah kakinya melepasi garisan ke neraka. Mufti bukanlah Si Luncai, tidak begitu Sahibul Samah Mufti Perlis?

Satu jawapan (warna BIRU) yang baik dari Dr. Asmadi Mohamed Naim (UUM). Di petik dari blognya: http://drasmadinet.blogspot.com/

Komen Artikel ‘Semangat 1Malaysia dikhianati agensi agama?

Saya tertarik dengan posting Dr Juanda Jaya dalam Harakahdaily pada Ogos 2010 berkaitan dengan artikel Dato’ Nakhaei Ahmad mengenai Wahhabi dalam Milenia Muslim, Ogos 2010. Lebih-lebih lagi Dato’ Nakhaie ada mengaitkan dengan Negeri Perlis. Secara peribadi, saya mempunyai ramai sahabat-sahabat di Perlis dan Perlis adalah jiran kami di Changlun ini. Jadi, Perlis amat rapat dengan saya. Secara pengamatan, sebenarnya masih ramai masyarakat Islam Perlis yang pengamalannya sebagaimana majoriti umat iaitu bertaklid kepada imam-imam mazhab yang muktabar. Manakala sebahagiannya pula, bertaklid kepada penghuraian Mufti dan ustaz-ustaz yang sealiran dengannya. Selamat membaca artikel di bawah dan komen saya yang berwarna kuning.

SEMANGAT 1MALAYSIA DIKHIANATI AGENSI AGAMA ?
Dr Juanda Jaya

Sewaktu sambutan Ramadan 2010 baru-baru ini, rakyat negeri Perlis digemparkan oleh satu tulisan pada halaman 52-54 Edisi Ogos Majalah Milenia Muslim. Tulisan ini diisi dengan tuduhan palsu dan hasutan ganas untuk menentang negeri Perlis dan cemuhan terhadap amalan Islam di negeri ini.

(Komen Dr Asmadi: Perlis terpaksa membayar harga yang tinggi kerana pernah melantik orang yang berfahaman agak taksub dan membawa perpecahan umat di seluruh Malaysia. Sekarang Dr Juanda terpaksa membetulkannya)

Hal ini timbul setelah sebelumnya suatu Seminar Pemikiran Islam diadakan di sebuah Akademi Pengajian Islam Universiti awam yang turut mempertikaikan amalan Islam di Perlis yang telah dirasmikan oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Seminar yang didakwa sebagai akademik ini ternyata mengulangi tuduhan-tuduhan palsu yang sudah lapuk. Apakah artikel jahat ini adalah kesinambungan daripada seminar yang sebahagian kertas kerjanya memuji Gerakan Ahbash yang telah jelas fatwa kesesatannya oleh al-Azhar dan sebahagian besar ulama dunia Islam.

(Dr Asmadi: Mufti tidak sepatutnya melontarkan fitnah itu terhadap seminar yang dimaksudkan tersebut. Seorang Mufti sepatutnya memeriksa ‘perkhabaran’ yang didengar dengan lebih berhati-hati. Pastikan berita tu betul ke tidak. Lebih-lebih lagi, sebahagian masyarakat Perlis dah putuskan hubungan dengan imam-imam mazhab, maka Muftilah tempat taklidnya. Kalau mufti tidak cermat, amat membahayakan masyarakat sebab masyarakat akan terima bulat-bulat sebab dikatakan mengikut sunnah.

Saya hadir seminar tersebut dan saya tidak mendengar pun nama Kerajaan Negeri Perlis disebut atau diperkecilkan. Kemudian, bila pula seminar tersebut memuji Gerakan Ahbash? Pembentangnya pun yang membuat kajian pada gerakan Ahbash, mengkritik gerakan tersebut di sudut ‘keekstreman’ pada sesuatu isu! Pembentang-pembentang yang berfikrah Ahbash, kalau mengikut kata penganjur, bukannya pembentang jemputan tetapi mereka yang menghantar kertas untuk dibentangkan (call for paper) dan datang atas tambang sendiri. Justeru, Mufti kena lebih berhati-hati bila dah sanggup jadi Mufti).

Majalah Milenia dikatakan ada hubungan langsung dengan sebuah agensi dakwah peringkat kebangsaan yang dinaungi oleh kerajaan persekutuan. Majalah ini seolah-olah menjadi media dakwah rasmi agensi kerajaan persekutuan berkenaan dan diedarkan secara percuma ke masjid-masjid, surau-surau, agensi-agensi agama dan sebagainya di seluruh Negara. Tanpa sumber kewangan yang kukuh daripada wang milik kerajaan persekutuan untuk aktiviti dakwah penyebaran Islam, tidak mungkin majalah ini boleh berdiri sendiri. Malangnya kelihatan wang awam milik kerajaan persekutuan itu telah digunakan untuk menghasut bagi menentang sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

(Dr Asmadi: Saya dapat melihat Dr Juanda baru merasa kesan penulisan majalah. Cuma beliau mungkin lupa, beliau juga pernah menulis bersama-sama rakan-rakan sealiran dengannya dalam majalah yang mendokongnya melontarkan tuduhan serupa pada pihak lain. Dan kini, semacam suatu kebangkitan yang dilakukan oleh orang-orang agama untuk menolak ‘aliran’ yang dibawa oleh Dr Juanda dengan dinyatakan hujah-hujah kebatilan aliran baru ini).

Perlis adalah sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia. Ia memiliki Raja pemerintahnya yang tersendiri. Raja yang berdaulat ini merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri ini. Hak dan keistimewaan Tuanku Raja dan pengamalan Islam di negeri ini dijamin oleh Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan negeri pada Fasal 5 jelas menyatakan bahawa agama bagi negeri ini ialah agama Islam Ahli Sunnah wal Jamaah. Ia telah termaktub sejak sekian lamanya.

Apa yang menjadi kemusykilan ialah, mengapa penulis artikel ini beriya-iya benar cuba memalitkan negeri yang permai lagi mempesona ini dengan tuduhan yang sering dinafikan sendiri oleh DYMM Tuanku Raja Pemerintah negeri Perlis, Ketua Agama Islam negeri Perlis. Yang terkini ialah titah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sewaktu majlis berbuka puasa Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Jawatankuasa Baitulmal Perlis dan Jawatankuasa Pelaburan Baitulmal Perlis pada 15 Ogos 2010 yang lalu yang menafikan kaitan negeri ini dengan “Wahabi” dan segala tuduhan liar yang menyatakan negeri ini menolak mazhab dan sebagainya. Utusan Malaysia 16 Ogos 2010 turut memetik titah ini kemudiannya.

(Dr Asmadi: Saya bersetuju supaya Perlis tidak dikaitkan dengan Wahhabi. Biarlah penentangan terhadap Wahhabi diteruskan tetapi tidak dikaitkan dengan Perlis).

DYMM Tuanku Raja Perlis sering meminta agar pihak yang keliru dengan pengamalan Islam di Perlis agar datang sendiri ke negeri ini bagi melihat amalan Islam di sini. Bahkan baginda menitahkan agar sesiapa yang meragui amalan di sini untuk membawakan hujah menurut al-Quran dan al-Sunnah bagi membuktikan bahawa amalan ini bertentangan dengan Islam. Namun hingga kini tuduhan liar sahaja yang dilemparkan dan tiada hujah akademik yang konkrit bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah yang dikemukakan.

(Dr Asmadi: Cadangan saya, mungkin Perlis perlu mempelbagaikan ahli Majlis agamanya untuk memastikan mereka benar-benar menepati al-Quran dan Sunnah. Kena panggil balik beberapa tokoh-tokoh agamanya dari negerinya sendiri seperti Dato Dr Haron Din, Dato’ Hasan Din al-Hafiz supaya setiap keputusan dapat diperiksa ketepatannya oleh pakar-pakar yang juga mengikut al-Quran dan Sunnah, tetapi mempunyai penghuraian yang berbeza. Mengimport tokoh-tokoh luar yang sealiran, BUKAN JALANnya untuk mendakwa menegakkan al-Sunnah).

Perlis menghormati pandangan semua mazhab. Apa yang diamalkan adalah ia tidak terikat dengan mana-mana mazhab dan bertindak memilih amalan yang didapati menepati kehendak al-Quran dan al-Sunnah serta tafsiran para sahabat dan ulama Salafussoleh. Ini dilakukan kerana ia diyakini lebih hampir kepada kebenaran dan ketepatan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Hal ini sebenarnya turut dipraktikkan di negeri-negeri lain yang dikatakan mengikut mazhab tertentu yang sebenarnya turut sama memilih pandangan mazhab lain dalam banyak hal apabila didapati pandangan mazhab mereka sendiri kurang menepati kesahihan dalil syarak.

Perlis sudah membuktikan ia amat dinamik dan progresif dalam pengalaman Islamnya. Negeri ini sentiasa berusaha mencari solusi menurut al-Quran dan al-Sunnah dalam menawarkan penyelesaian isu-isu agama. Lantaran itulah pandangan agama dari negeri ini sering dijadikan rujukan oleh umat Islam seluruh Negara dan sebahagian besar amalan negeri ini dapat diterima di tempat lain secara meluas. Amalan yang bersandarkan nas al-Quran, al-Sunnah dan amalan para sahabat dan Salafussoleh sudah pasti menjadi tarikan kepada umat Islam mengikutinya kerana ia berasaskan dalil dan fakta yang sahih. Inilah rahmat dan hasil pembangunan pendidikan pada semua peringkat di Negara ini.

Apa yang menyedihkan ialah, pada saat kesatuan Negara semakin diperkukuhkan oleh slogan 1MALAYSIA yang dilaungkan oleh Kerajaan Persekutuan, namun masih wujud beberapa agensi agama di peringkat pusat yang mahu mencetuskan perbalahan isu keagamaan. Sedangkan hak setiap negeri telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Apakah wajar suatu pihak dalam agensi kerajaan mencanangkan seruan dan ajakan untuk menentang sebuah negeri yang berada dalam Persekutuan dan menuduh serta menghasut bahawa tindakan dan amalan keagamaan negeri itu adalah salah dan mesti ditentang? Apakah tindakan seperti ini tidak wajar untuk disiasat menurut Akta Hasutan? Atau apakah ini suatu bentuk Perlembagaan baru yang mahu diwujudkan oleh mereka yang bencikan kedamaian Negara ini?

Saya menyeru kepada pihak berwajib agama di peringkat persekutuan agar mengambil tindakan terhadap suara-suara ganjil yang anti perpaduan ini dan sentiasa mahu menghasut rakyat untuk berpecah belah. Saya juga meminta pihak keselamatan menyiasat dalang di sebalik tulisan jahat dalam majalah yang ada kaitan dengan agensi kerajaan ini memandangkan majalah ini disebarkan secara percuma dan meluas di seluruh Negara terutama di premis-premis berkaitan dengan agama Islam.

Semoga Allah terus memberi petunjuk kepada umat Islam Negara ini agar terus beramal menurut al-Quran dan al-Sunnah dan semoga Allah melimpahkan rahmatnya yang berkekalan untuk Negara ini dan memelihara Negara ini daripada anasir perosak dan pemecah belah kesatuan dan perpaduan rakyat.

Dr Juanda Jaya,
Kangar, 19 Ogos 2010.

****

Berikut adalah jawapan balas Ustaz Nakhaie yang dipetik oleh Malaysiakini: Nakhaie: Semua orang tahu Perlis beza

dipetik dari Malaysiakini

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Nakhaie Ahmad mempertahankan tulisannya dalam sebuah majalah agama yang didakwa menghasut untuk menentang kedaulatan negeri Perlis.

Katanya, tulisannya berjudul “Penyelewengan Wahabi” dalam Milenia Muslim keluaran terbaru (Ogos) tidak langsung mempertikaikan perlembagaan negeri itu yang meletakkan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah sebagai akidah negeri itu.

“Perlembagaan semua negeri sama (nyatakan pegangan Ahli Sunnah). Yang saya sebut ‘keluar daripada jemaah’.

“Bukan (maksudnya) jemaah Ahli Sunnah, (tetapi) jemaah fekah (mazhab) Shafie. Semua orang tahu pengalaman agama di Perlis berbeza,” katanya sambil menyifatkan perkara itu sebagai subjektif.

Sebelum ini, menulis dalam ruangan ‘Kembara Minda’, Nakhaie – bekas pemimpin kanan PAS yang mencetuskan kontroversi kerana menyertai Umno pada 1989 – menulis di perenggan terakhir:

“Tindakan Perlis keluar daripada jamaah dan mengambil jalan sendiri, kononnya mengembangkan Islam tanpa mazhab adalah salah dan mesti ditentang.”

Yang buta, yang tuli

Reaksi daripada tulisan yang diterbitkan sebuah agensi agama persekutuan itu, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menggesa pihak berwajib mengambil tindakan terhadap Milenia Muslim yang didakwa menghasut.

Menurut Dr Juanda, majalah agama itu diisi dengan “tuduhan palsu dan hasutan ganas untuk menentang negeri Perlis dan cemuhan terhadap amalan Islamnya”.

Sebelum ini, lima NGO Perlis membantah artikel Nakhaie dengan alasan yang hampir sama.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Nakhaie menjelaskan beliau tidak menyebut langsung perkataan Wahabi dalam tulisannya itu.

Justeru, tambahnya, tidak timbul langsung soal beliau perlu meminta maaf.

Ditanya sama tentang tajuk artikel yang jelas menyebut aliran agama itu, sambil ketawa, Nakhaie berkata:

“Itu kena tanya ketua pengarang (majalah berkenaan)”.

Nakhaie berkata, tulisannya itu hanya bertujuan memberikan pandangannya hasil daripada pengalaman dan perbincangan dengan ulama-ulama di Perlis sebelum ini.

“Masalahnya pada pengikut-pengikut dia. Yang alim-alim tak kata apa.

“Tetapi (masalahnya ada) pengikut yang fanatik, yang buta, yang tuli, yang suka menyifatkan amalan orang lain sebagai bidaah, sesat, kafir.

“Kalau macam ini berpecah-belahlah orang,” katanya sambil menyarankan semua negari diseragamkan dengan menggunapakai mazhab Syafie dalam pengamalan fekahnya.

Ingatkan saya …

... dalam pelbagai pertemuan dengan saudara-saudara sekalian, terutama selepas mana-mana sesi taklimat, kadang-kadang ada yang meminta sesuatu dari saya. Kerap kali dalam kesibukan serta kelemahan saya sendiri, ada ketika janji-janji tersebut terlupa saya tunaikan ... tolong ingatkan saya. PM di FB saya atau emel kepada saya akarimomar.wordpress.com/about

***

akarimomar Youtube Channel

Click here to go to my Youtube Channel:
http://www.youtube.com/akarimomar

Buku-buku Armies of God dan Sang Nila Utama & Lion of Judah MESTI DIBACA

Tulisan Mr. Iain Buchanan yang mendedahkan agenda Evangelis Kristian ...
Untuk tempahan dan pesanan.

Buku2 Iain - poster1

.

Bicara Promoter LGBT

Maulid Pelajar Tahfiz

Tembakan Bedil di Bukit Pak Apil

Klik untuk tonton

Buku-buku Karangan Awang Goneng: Growing Up in Trengganu + A Map of Trengganu

DAPATKAN NASKAH ANDA SEKARANG !!!
Klik imej:

.

PLACE YOUR ORDER NOW !!!
SMS: 019-3199788 (Karim)
email: akarimomar@yahoo.com

Bacaan Hizib

Archives

Effective Islamic Parenting

November 2019
M T W T F S S
« Oct    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Taqwim Solat – Prayer Time

Al Masjid – Memakmurkan masjid

Sinopsis Kitab Fiqh Akbar

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 340 other followers

Tauhid