KUALA LUMPUR 26 Mac – Jenazah cendekiawan Islam, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, 70, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, selepas solat zuhur hari ini.

Antara yang hadir dalam majlis pengkebumian itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga, Datuk Dr. Hasan Ali.

Yang hadir sama, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Pemergian Allahyarham dianggap sebagai kehilangan besar kepada negara berdasarkan jasa-jasanya sebagai ilmuwan dan ulama tersohor yang membantu mempertahankan agama Islam.

Menurut anak ketiga Allahyarham, Ahmad El-Muhammady, 35, sehingga ke saat-saat terakhir, bapanya masih setia bersama buku sebelum tiba-tiba mengadu berasa penat.

“Ahad lalu, semasa keluarga berkumpul meraikan kejayaan cucu-cucu dalam peperiksaan, ayah ada mengingatkan supaya kita teruskan usahanya iaitu mempertahankan ajaran Ahli Sunah Wal-Jamaah di negara ini dan mempertahankan daripada pelbagai cabaran pemikiran.

“Allahyarham sihat, cuma akhir-akhir ini nampak penat. Beliau juga ada menterjemah dua buah buku yang belum sempat disiarkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Islamisasi UIAM, Prof. Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan menyifatkan Allahyarham seorang sarjana, intelektual dan ulama Islam yang seluruh kehidupannya adalah untuk ilmu pengetahuan.

“Beliau faham cabaran dunia moden dalam Islam iaitu cabaran mazhab Syiah, fahaman pluralisme dan liberalisme yang cuba disebar dan dikembangkan dengan meluas.

“Selain itu beliau sedar situasi dunia hari ini, cabaran intelektual, usaha mempertahankan identiti Islam, tradisi ilmu mengikut Ahli Sunah Wal-Jamaah dan memahami dunia ilmu barat serta ilmu Islam tradisonal hingga kitab klasik,” katanya yang telah bersahabat sejak kecil lagi.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mengenali rapat Allahyarham sejak zaman belajar pula berkata, Allahyarham sering dijadikan sebagai tempat rujukan dalam siasah politik Islam.

“Beliau sentiasa berpesan kepada saya bahawa seorang pemimpin perlu amanah dan jujur kepada rakyat yang menjadi asas.

“Saya melihat Allahyarham adalah intelek Islam setanding dengan sarjana antarabangsa dan ulama tersohor dunia yang tidak menonjolkan diri serta bersikap sederhana. Beza sifatnya dengan sesetengah ulama yang ada,” ujarnya. – UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia @Utusan Melayu (M) Bhd

*************

Doa Untuk Ustaz Uthman El-Muhammady – Jun 2012