You are currently browsing the tag archive for the ‘Uthman El-Muhammady’ tag.

Sebahagian dari ceramah bertajuk “Ancaman Fahaman-fahaman Asing Terhadap Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Di Malaysia” oleh Al-faqir ila’Llah Ustaz Muhammad ‘Uthman El-Muhammady di Masjid Saidina Abu Bakar Bangsar pada 23 April 2011 – Sabtu.

Ringkasan Nota Ceramah:

  1. Cabaran akidah
    • Cabaran akidah kerana ia mengajar tentang Imam maksum yang lebih daripada Nabi dan rasul (melainkan nabi Muhammad salla’Llahu alía wa sallam)
    • Kerana ia mengajar tentang ada Quran Siti Fatimah (Mushaf Fatimah)
    • Kerana akidah sahabat menjadi kafir selepas wafat Rasulullah
    • Kerana akidah raj’ah
    • Kerana menganggap orang Ahli Sunnah kafir
  2. Cabaran syariat daripadanya – kerana ajaran tentang kahwin mutaah
  3. Cabaran hidup akhlak – kerana sikap menghina orang Ahlisunnah, kata mereka orang Ahlisunnah nawasib (نواصب) ertinya yang paling hina dalam dunia harus dibunuh
  4. Cabaran terhadap keselamatan negara dan masyarakat-kerana anggapan mereka kerajaan tidak sah de jure, yang sah kerajaan Syiah di bawah imam maksum (Syariah superstate under the infallible imam)

Teks penuh ceramah boleh dicapai di: “Ancaman Fahaman-fahaman Asing Terhadap Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Di Malaysia

Tonton juga: Aliran-aliran yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah – klik

Kami doakan kesihatan untuk guru kami Al-Fadhil Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady.

Ustaz dirujukkan ke Institut Jantung Negara selepas beliau pergi ke klinik kesihatan di Universiti Islam Antarabangsa pagi semalam. Beliau kini ditahan untuk pemeriksaan lanjut di IJN untuk beberapa hari.

Sama-sama kita doakan untuk Ustaz.

***************

Wacana anjuran MUAFAKAT dan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam UM yang diwarwarkan semalam ditangguh buat seketika. Rujuk:  http://muafakatmalaysia.com/

Fahaman pasca modernisme menghasilkan pelbagai pemikiran seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme dan pelbagai lagi termasuk menentang otoriti dan termasuk juga mereka yang menimbul dan membesar-besar isu-isu furu’iyyah (termasuk wahhabi).

Rakaman ceramah Al-Fadhil Ustaz Uthman El-Muhammady:

sumber: http://blogtraditionalislam.wordpress.com

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

WANITA DALAM ERA DAN KETERBUKAAN IDEOLOGI

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

ISTAC IIUM DAN IIM

(Untuk diskusi PISWI 22-11-11 di Hotel Angkasa KL)

1. Yang akan dibincangkan dalam kertas ini ialah secara ringkasnya keterbukaan ideologi masakini, termasuk antaranya pascamodernisme, apa ‘ajaran’nya, apa itu zaman keterbukaan ideologi itu, apa cabaran-cabarannya, dan bagaimana jalan ke hadapan boleh dirancang dan dilalui dengan jayanya bagi wanita-wanita Islam mengikut suluhan cahaya agamanya dan budayanya yang terbentuk dalam acuan agama; dengan itu ia hidup sebagai wanita yang menyedari dirinya dan membentuk kemampuan dirinya sebagai para Muslimah dalam negaranya dan mengadakan hubungan secara bijak dan lestari dengan pihak lain dalam zaman globalisasi ini.

2. Kalau hendaki disebut ideologi-ideologi dalam erti yang am, maka boleh disebut bagaimana keadaan sekarang negara sedang berada dalam zaman mengamalkan demokrasi dengan menggabungkannya dengan beberapa cara sendiri dalam berkongsi kuasa dengan beberapa pihak dalam negara ini. Dan hasilnya menunjukkan, dengan izin Ilahi, ada beberapa kejayaan yang boleh disebut dalam rangka kita bersyukur kepada Tuhan atas niamatNya, juga bersyukur kepada pihak pimpinan negara yang menjadi wasilah atas kejayaan itu; kita dituntut dalam hadith bahawa kalau kita tidak bersyukur kepada sesama manusia kita tidak sempurna bersyukur kepada Tuhan. Ini disebut untuk mengingatkan jiwa kita sendiri yang kadang-kadang kalau terganggu dan niamat datang melalui orang yang kita tidak suka, kita nafikan perkara itu. Ini menjerumuskan kita ke dalam bahaya kerohanian yang berat. Dijauhkan Allah. Maka kita bersyukur kepada Allah dan kepada pihak pimpinan negara dan orang lain juga  yang menjadi ‘jalan masuk’ niamat Tuhan kepada kita.

3. Selain daripada kita berada dalam demokrasi cara kita sendiri, dengan kita mendapat kejayaan, yang diakui oleh orang dalam negara dan luar negara juga, kita boleh ingatkan bagaimana kita dalam zaman keterbukaan ideologi ini boleh dibuai oleh bermacam-macam budaya dan ideologi lagi, yang walaupun tidak muncul seperti yang disebut itu, ialah budaya dan ideologi anti-establishment dan anti tradisi kita sendiri.

4. Ini disebut sebagai ideologi anti-establishment (yang berlawanan dan bertentangan bentuknya dengan dasar ‘al-din al-nasihat’ dalam ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah, ini mesti disebut) yang diperhatikan berkembang dengan cara yang tidak serasi dengan kepentingan negara dan budaya kita sendiri. Antaranya keterbukaan ideologi yang menyebabkan ada pihak-pihak yang hendak mempromosikan, misalnya Seksualiti Merdeka atas nama hak-hak manusia sejagat sebagai ideologi yang unggul; dan sikap yang kelihatan ialah bila pihak berotoriti dalam negara (dalam istilah Islam ia ulil-amri) menyuarakan larangan maka kadang-kadang larangan itu tidak dihiraukan seolah-olahnya kedudukan ulil-amri itu tidak berfungsi dari segi agama Islam. (Di sini kita berbicara atas panduan Islam). Hakikatnya yang sebenar, dari segi intelektuil dan rohani (mengikut panduan Ahli Sunnah, dan ditekankan dengan benar oleh Yang Teramat Mulia Tengku Raja Nazrin) bahawa ulil-amri itu masih ada keabsahannya, dan umat Islam wajib diberi peringatan bahawa aturan dengan ulil-amri masih absah dan terpakai, walaupun kadang-kadang kita agak kabur tentang bagaimana caranya hendaki ‘selaraskan’ apa yang dicanangkan sekarang tentang nilai budaya luar tentang hak manusia sejagat (hak Tuhan tidak disebut oleh mereka, sebab dalam ideologi mereka ‘Tuhan sudah mati’ atau mereka kata ‘Kami bunuh Tuhan’ –la haula wa la quwwatana illa billahil-aliyyil-azim). Bagi kita kalau disebut hak asasi manusia, maka kita perlu peringatkan bahawa kita ada Deklarasi Kaherah tentang hak-hak manusia yang tidak menolak ‘hak Tuhan’.

5. Maka dalam keterbukaan ideologi sekarang timbul isu Seksualiti Merdeka itu; bagi kita dalam negara ini kita perlu memperjuangkan nilai-nilai dan prinsip-prinsip, janganlah kerana ketaksuban kepada golongan minoriti yang vokal, kita korbankan nilai-nilai majoriti dan negara kita, pada akhirnya kita menjadi mangsa pilihan salah kita sendiri; kita perlu mempunyai kemampuan intelektuil dan budaya melihat nilai-nilai yang dicanangkan oleh mana-mana pihak dalam konteks prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang serasi dengan kita, sebab negara ini negara kita, orang dari luar tidak berada di sini, dan yang menentukan budaya dan nilai-nilai adalah kita di sini. Maka kita perlu mengajak semua orang kita di negara ini bermuafakat dan hidup dengan harmonis dan jangan membawa orang luar masuk hingga mengganggu kestabilan nilai-nilai dan prinsip-prinsip hidup kita, seperti dalam soal Seksualiti Merdeka yang dicanangkan itu. Tidak ada agama yang patut mendapat nama agama yang akan menerima Seksualiti Merdeka itu. Prinsip-prinsip dan nilai-nilai dalam tamadun Timur semuanya perlu digarap untuk menepis mana-mana gangguan atas nilai-nilai dan budaya kita yang dikongsi bersama berdasarkan nilai-nilai unggul sarwajagat itu. Ini menyentuh perkara-perkara seperti soal akhlak kita, pergaulan kita, hiburan kita, hubungan kita antara ahli keluarga, hubungan dalam masyarakat, dan hubungan antara orang ramai, rakyat dan ulil-amri, pihak yang berkuasa. Budaya ‘anti-establishment’ tidak ada dasar kerohanian dan falsafah di kalangan kita yang boleh membenarkannya. Lihatlah keruntuhan kerajaan Rom bila budaya ini berkembang sebagaimana yang dilaporkan dalam ‘The Decline and Fall of the Roman Empire’ oleh Gibbon dan juga isu demikian disebut oleh Arnold Toynbee dalam jilid 5 bukunya ‘A Study of History’. Dan dalam Islam, dalam ajaran Ahli Sunnah yang berdasarkan Quran, Hadith, Ijma’ dan Kias mereka yang muktabar tidak membenarkan sikap yang demikian.

6. Bila menyebut suasana kita dalam amalan demokrasi kita juga perlu menyebut tentang bahaya amalan hidup ‘conspicuous consumerist culture’ yang timbul dari kapitalisme liberal baru yang menyebabkan kesan buruk berlaku atas masyarakat kita; manusia ramai yang membeli dan menggunakan barang-barang bukan kerana keperluan tetapi kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada orang dengan penuh kebanggaan tentang gaya hidupnya. Ini menjadi seperti sejenis berhala fesyen baru yang ‘disembah’ oleh ramai orang dengan tidak disedari oleh mereka. Orang ramai seolah-olah terkena sihir oleh gaya baru ini –dan ini boleh membawa malapetaka. Dijauhkan Allah. Kesedaran tentang nilai dan prinsip hidup berhemat perlu dicanangkan kepada masyarakat kita, supaya kita semua mengamalkan ‘gaya hidup lestari’ (sustainable way of life, sustainable life-style) sebab kalaulah semua orang menggunakan bahan-bahan dalam kehidupan dengan cara yang tidak lestari, tidak ‘sustainable’ berapa lama bumi dan alam boleh menanggung gaya hidup kita yang membinasakan itu?

7. Selain daripada yang disebutkan di atas itu kita boleh menyebut sedikit dengan cara yang agak serius tentang pascamodernisme, falsafahnya dan zamannya. Berkenaan dengan pascamodernisme secara ringkasnya untuk kepentingan kita dalam diskusi ini ialah elemen-elemen fahaman ini yang asasinya sebagai berikut. Ia menyentuh persoalan tentang pandangannya berkenaan dengan falsafah tentang ilmu pengetahuan dan kedudukan manusia sebagai wanita yang ada dalam Islam. Untuk tidak terlalu berlarutan dengan perbincangan tentang falsafah pengetahuan yang terlalu lanjut dan tidak sesuai dengan kepentingan di sini, kita boleh melihat takrif ‘postmodernism’ yang tepat dan ‘sober’ dalam Oxford Dictionary of Philosophy sebagai berikut (ertinya):

a. “Dalam budaya amnya pascamodernisme dikaitkan dengan penerimaan stail atas sesuatu yang penuh dengan sikap bermain-main, mengikut apa yang ada atas permukaannya, sedar tentang sedang menukil pendapat diri sendiri, dengan parody (meniru-niru secara mengejek), dan merayakan apa yang ironis, yang sementara, dan ‘glitzy’ (penuh glamour dengan kedangkalan). Ia biasa dilihat sebagai reaksi menentang sikap naïf dan bersungguh-sungguh percaya kepada kemajuan, dan tidak menyetujui yakin diri terhadap kebenaran yang objektif dan saintifik. Oleh itu dalam falsafah ia bermakna sikap tidak percaya kepada wacana-wacana agung kemodenan: sikap mengesahkan secara besar-besaran [masih ada sekarang] terhadap masyarakat Barat dan keyakinan (confidence) dalam kemajuannya yang kelihatan dalam pemikiran Kant, Hegel, atau Marx, atau [falsafah] yang timbul daripada pandangan yang bersifat utopia tentang kesempurnaan yang dicapai melalui evolusi, perbaikan kemasyarakatan, pendidikan, ataupun penggunaan sains. Dalam aspek-aspek pascastrukturalis [dalam kajian dan falsafah tentang bahasa] ia termasuk penafian terhadap mana-mana makna yang tetap, atau persamaan/sepakatnya antara bahasa dan alam dunia, atau mana hakikat sebenar yang tetap atau kebenaran atau fakta yang menjadi objek penyelidikan.”

b. “Kecenderungan [yang demikian] dirasai terlebih dahulu, dan mungkin dilafazkan secara gemilang sekali oleh Nietzsche, yang falsafahnya tentang perspektivisme dilihat sebagai satu teknik falsafah untuk menghapuskan sangkaan tentang mungkin adanya pengetahuan yang objektif. Sifat objektiviti sesuatu itu ditunjukkan sebagai helah untuk mendapat kekuasaan atau autoriti dalam pusat pengajian, dan kerapkali sebagai kota pertahanan yang terakhir bagi keistimewaan orang lelaki kulit putih. Mantik atau pemikiran secara rasional dijelaskan sebagai pemaksaan fahaman tentang serba dua yang berpecah yang disyaki, dalam arus peristiwa yang berlaku. Golongan pascamodernis berbeza pendapat tentang natijah-natijah yang timbul daripada pertemuan-pertemuan demikian, dengan berkongsi sikap tidak percaya yang lama itu (sceptic) tentang bagaimana hendak berfikir dan bertindak mengikut suluhan cahaya ajaran. Manakala sikap membuang objektiviti nampaknya pada setengah pihak jalan membawa ke arah memberi kebebasan berbentuk radikalisme dalam politik, pada pihak lain ia kelihatan sebagai membenarkan pandangan-pandangan yang tidak membebaskan (unliberating) seperti menolak bahawa di sana itu ada peristiwa (yang secara objektifnya) seperti Perang Dunia II atau peristiwa Holocaust , dan pada pihak lain lagi seperti buku Rorty (Contingency, Irony, and Solidarity, 1989), ia membenarkan sikap  mengundurkan diri masuk ke alam aesthetis, apa yang ironis, yang tidak terkait dengan mana-mana pihak (detached), dan penuh bermain-main (playful) dengan kepercayaan diri sendiri, dan dalam hubungan peristiwa-peristiwa yang terus mara berlaku. Sikap undur diri sedemikian dikritik sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dari segi kemasyarakatannya (dan dalam kesimpulannya tersangat konservatif). Bentuk minda pascamodernisme, yang ditentukan arahnya, misalnya dalam buku The Postmodern Condition atau Keadaan Pascamodern, 1984 oleh Jean-Francois Lyotard (1924- ) mungkin kelihatan sebagai sikap orang berani yang menolak sahaja kejayaan sains dalam menjana perbaikan hidup manusia, satu sikap membesar-besarkan sesuatu dengan berlebihan tentang mengaku penuh dengan salahnya mana-mana usaha untuk mencapai ilmu dalam disiplin-disiplin yang membaikkan manusia (humane disciplines), dan tidak mempedulikan kebenaran yang biasa difahami manakala sejarah manusia dan undang-undang mengakui tidak ada gambaran yang terakhir (dalam ilmu), mereka mengakui tentunya tentang adanya [dalam ilmu] apa-apa yang berlebih kurang memang benar tepat, (sebagaimana) ada pula berlebih kurangnya, peta-peta yang tepat.”[1] 

8. Takrif demikian, yang memang bermanfaat digunakan untuk perbincangan kita, boleh membantu kita menangkap unsur-unsur yang mewakilinya dalam aliran ini. Antaranya unsur-unsur: stail yang penuh dengan sikap bermain-main, menukil pendapat diri sendiri, menggunakan unsur parody (meniru-meniru secara mengejek-ngejek), gembira dengan unsur ironis (sikap menyebut pandangan yang lain untuk merendah-rendahkannya), memberi penekanan kepada yang bersifat sementara, yang bersifat glamour yang melampau, sebagai reaksi terhadap konsep kemajuan yang berasaskan kepada sains dan ilmu yang objektif, oleh itu menolak wacana-wacana agung (termasuk agama, Tuhan, wahyu dan yang sepertinya), menolak evolusi ke arah keadaan yang maju dan lebih baik (dulunya sangat berpengaruh di Barat), sikap menolak hakikat yang sebenar, menolak tentang adanya ilmu yang objektif yang boleh dicapai, ertinya semuanya boleh jadi benar atau boleh jadi salah, demikian seterusnya. Ini mempunyai kesan terhadap tentang ilmu, bahasa, diri manusia, kehidupan, akhlak dan moral serta budaya dan seni.

9. Dan yang berkaitan dengan pengaruh falsafah sedemikian ialah feminisme, apa itu feminisme? Dalam Oxford Encyclopedia of Philosophy ia adalah: pendekatan terhadap hidup kemasyarakatan, falsafah dan etika yang mempunyai pendirian untuk memperbetulkan prasangka-prasangka berat sebelah yang membawa wanita berkedudukan di bawah lelaki (subordination) ataupun sikap mengurang-ngurangkan pengalaman wanita yang khusus bagi mereka. Golongan feminis semasa sensitif tentang prasangka gender (sikap berat sebelah kerana gender) yang mungkin ada secara isyarat terkandung dalam teori-teori falsafah (misalnya senarai sifat-sifat keutamaan yang unggul (virtues) mungkin secara tipikal adalah kelakian (manly) ataupun secara budayanya ‘kelakian’), dan dalam struktur-struktur kemasyarakatan, prosedur-prosedur undang-undang dan politik, dan budaya amnya. Satu dakwaan yang penuh kontroversi (secara berpengaruhnya dibuat oleh Carol Gilligan In a Different Voice. Psychological Theory and Women’s Development [‘Dalam Suara Yang Berbeza. Teori Psikologi dan Pembangunan Wanita], 1982) ialah bahawa para wanita mendekati proses berfikir praktikal berlainan sudut pandangnya daripada lelaki. Perbezaan itu termasuk ke dalamnya penekanan atas komuniti, sifat pengasihan, dan bersifat mengikat (bonding) dengan orang-orang perseorangan tertentu, ganti bagi sikap abstrak yang tidak memihak kepada mana-mana pihak (abstract impartiality). Adalah perkara penuh kontroversi sama ada ini perbezaan yang real, dan kalau demikian adakah ia timbul daripada perbezaan-perbezaan yang asal dalaman (innate) dalam jiwa lelaki dan wanita, atau adakah perbezaan nilai-nilai itu membayangkan cara para lelaki dan wanita diajar untuk membentuk cita-cita dan ideal-ideal yang berlainan.  Manakala etika feminis kerap ditumpukan kepada masalah-masalah yang khususnya dihadapi wanita, dengan ide-ide di sebaliknya mungkin atau mungkin tidak terkait dengan masalah-masalah praktikal, ataupun hubungan secara ‘bermusuh’ berhubungan dengan lelaki dan pandangan-pandangan yang pessimis tentang seks yang menjadi sifat terkenal pada gerakan itu.

Ia juga digambarkan dari segi falsafahnya demikian.

10.   Fahaman falsafah tentang pengetahuan feminis bertanya sama ada cara-cara mengetahui yang berlainan, misalnya dengan kriteria yang berlainan untuk mengesahkannya, dan penekanan yang berlainan tentang logik dan imaginasi, yang merupakan ciri lelaki dan wanita dalam memahami dunia [dan kehidupan]. Soalan-soalan sedemikian termasuk kesedaran tentang wajah-diri ‘kelakian’ (masculine), itu berubah dari segi kemasyarakatannya, dan secara potensi memberi gambaran yang salah tentang bagaimana sepatutnya fikiran dan perbuatan itu berlaku. Yang menjadi target khusus bagi falsafah pengetahuan feminis ialah konsep Immanuel Kant dan zaman Pencerahan berkenaan dengan kerasionalan (rationality) yang dilihat sebagai satu senjata untuk mendakwa diri menjadi tuan dan mengontrol [wanita], dan sikap tidak mahu mengakui sudut-sudut pandangan yang berlainan dan hubungan-hubungan yang berlainan dalam kehidupan dan dengan alam tabie. Walaupun dakwaan-dakwaan berlebihan yang ekstrem dibuat, seperti bahawa logik adalah bersifat seperti ‘phallus’ dan alat patriarchal untuk menundukkan pihak lain, adalah masih belum jelas sama ada kelainan-kelainan antara keupayaan individu-individu dan latihan sama diambil kira seperti gender dalam memberi huraian tentang bagaimana cara orang mencapai pengetahuan. Dan lagi, ada terdapat sederetan masalah, daripada masalah yang terlalu amat bersifat sebagai teori sampai kepada masalah yang secara bandingannya bersifat praktikal. Dalam bidang yang kemudian ini perhatian khusus diberi kepada asas-asas institiusi yang menghalang peluang-peluang yang sama [antara wanita dan lelaki] dalam bidang sains dan lain-lain bidang akademik, ataupun ideologi-ideologi yang menghalang wanita melihat diri mereka sebagai penyumbang-penyumbang yang utama dalam pelbagai disiplin pengetahuan. Bagaimanapun, bagi para feminis yang lebih radikal masalah-masalah sedemikian hanya menunjukkan para wanita menghendaki untuk diri mereka kuasa-kuasa dan hak-hak atas pihak lain yang orang lelaki dakwakan bagi mereka, dan bila gagal mendepani masalah-masalah yang real iaitu bagaimana hidup tanpa kekuasaan-kekuasaan dan hak-hak yang tidak seimbang demikian.[2]

11. Demikianlah antaranya elemen-elemen yang terkandung dalam istilah pascamodernisme dan aliran falsafah feminisme yang timbul dalam rangka pengaruh pemikiran yang sedemikian. Berhubungan dengan itu kita boleh melihat bagaimana aliran yang sedemikian ini menimbulkan kesannya dalam masyarakat Barat, antaranya sebagaimana yang dibicarakan oleh seorang daripada pengarang feminis yang berpengaruh iaitu Germaine Greer dalam tulisan-tulisannya, antaranya seperti The Whole Woman[3] dan The Female Eunuch.[4]

12. Dalam dua buah buku tersebut pengarang ini menunjukkan sikapnya dalam memperjuangkan feminism yang dipengaruhi oleh pascamodernisme, bermula dengan perjuangan tentang kesetaraan gender dalam erti yang simplistik kemudiannya terpaksa menerima hakikat yang berlainan sekali daripada apa yang diperjuangkan mula-mulanya.

13. Sebagaimana yang diberikan perhatian secara halus dan mendalam oleh Shaikh Abdal Hakam Murad dalam esseinya yang penting ‘Boys Will be Boys’[5] kesan-kesan daripada pembebasan wanita dengan hidup seksnya yang diperjuangkan oleh golongan feminis yang terpengaruh dengan falsafah yang merombak nilai-nilai pengetahuan yang mengajar ketetapan nilai-nilai dan pengetahuan dari aliran modernisme adalah bahawa wanita mengalami keadaan lebih parah daripada lelaki.

Antaranya ialah seperti berikut:

a. Dalam bukunya The Whole Woman sebagai kesan daripada falsafah kebebasan dalam pemikiran tentang seks dan amalannya dicatitkan bahawa selepas daripada diperjuangkan kedudukan wanita berpuluh-puluh tahun mendepani keadaan mereka yang dirugikan dalam pendidikan, pekerjaan, kedudukan dan pangkat, kebosanan dengan memasak, membersih dan menjaga anak-anak, mereka yang lemah, yang meletihkan, demikian seterusnya, akhirnya mereka (golongan feminis) dikatakan sebagai berjaya. Walaupun dikatakan mereka ‘berjaya’ dinyatakan bahawa mereka lebih berat keadaannya dan mereka mengalami kesukaran. Katanya ‘Kehidupan para wanita bukannya menjadi lebih senang tetapi lebih sukar, hidup mereka nampaknya lebih baik, tetapi lebih sulit’ (hal. 184). Disebutkan bahawa semenjak tahun 1955 ada terdapat lima kali ganda penyakit murung di Amerika Syarikat, 6% daripada penduduknya diandaikan mengalami kemurungan (depression) bila mereka berumur dua puluh empat tahun; wanita lebih teruk menderita daripada lelaki; tahun itu 17% wanita British akan cuba membunuh diri sebelum mereka berumur dua puluh lima tahun (hal. 181). Setengah daripada kemurungan itu timbul daripada masalah-masalah seperti hilang pekerjaan, kematian ahli keluarga, perceraian, ditolak oleh pasangan atau keluarga, termasuk juga kerana rendah ‘esteem’ diri; satu jenis kemurungan lagi ialah kerana ‘genes’, atau kerana naik turunnya kimia badan sendiri serotonin atau estrogen; wanita dua kali ganda teruknya kerana penyakit sedemikian. (hal. 182). Disebutkan juga tentang tahun lima pululan (1950an) keluarga berangkai terhapus, tetapi gantinya tidak ada. Dan ini menimbulkan masalah. (hal, 184).

b. Berkenaan dengan pengalaman mereka dalam tentera, bila mereka diterima di dalamnya kerana kejayaan gerakan feminis, dalam masa berlakunya Perang Teluk, bila kapal Acadia meninggalkan pelabuhannya di San Diego untuk pergi ke Timur Tengah, 360 orang wanita merupakan sekitar satu perempat daripada penumpangnya, pada masa ia pulang tiga puluh enam daripada wanita itu dihantar pulang kerana mengandung.  Yang lelakinya tidak ada yang dihantar pulang. (hal. 178). Dinyatakan bahawa wanita Amerika yang berkhidmat dalam Perang Teluk berada dalam bahaya yang lebih besar diganggu dari segi seksual oleh tentera Amerika sendiri daripada diganggu secara seksual oleh tentera musuh (kata Senator Dennis DeConcini) (hal. 179).  Dalam tahun 1996 penyelidikan mendapati bahawa lebih daripada tiga puluh orang rekrut tentera wanita di Maryland dirogol atau diganggu, demikian seterusnya; ini adalah ‘kesan’ daripada pembebasan seks yang nampaknya yang dibebaskan adalah seksualiti lelaki; yang menderitanya wanita. (hal. 179).  Dalam tentera di Britain juga berlaku gangguan seksual walaupun ke atas tentera wanita yang berpangkat tinggi. (hal. 180).

c. Kesan kebebasan seksual juga mempunyai kesan buruk atas peranan keibuan; wanita tidak mahu menjadi ibu; dalam tahun 1971 satu daripada dua belas keluarga British diketua oleh seorang ketua keluarga, dalam tahun 1986 satu dalam tujuh, pada tahun 1992 satu dalam lima. Ibu merupakan 91% daripada ketua keluarga yang demikian, bukan lelaki, kebanyakan daripada mereka menjadi demikian kerana perceraian atau kematian. 35% dari mereka itu tidak pernah berkahwin, 10% dari kalangan mereka berumur di bawah dua puluh tahun. Satu daripada tiga orang yang dilahirkan di England dan Wales sekarang berlaku di luar nikah. Dalam awal tahun 1990an timbul kebimbangan yang amat sangat tentang ramai para wanita muda mengandung; terdapat cerita-cerita yang membimbangkan tentang wanita-wanita demikian dengan anak haram mereka. Keadaan menjadi buruk sehingga timbul pendapat Evelyn Shaw dan Joan Darling ‘…para wanita [dengan perangai mereka yang sedang berlaku] menguatkan mitos bahawa biologi adalah destini dan golongan wanita dari spesis kita adalah satunya golongan yang memelihara dan menjaga anak-anak’ (hal. 213).

d. Tentang keluarga dengan seorang ketua ini, yang kebanyakannya wanita, dinyatakan bahawa pada tahun 2020 sepertiga daripada semua keluarga British akan dihuni oleh seorang individu sahaja; dan yang paling ramai di kalangan mereka adalah wanita. Daripada 3.8 milion wanita British berumur tiga puluhan hampir-hampir sejuta hidup seorang atau diceraikan. Pejabat Statistik Nasional Britain menganggarkan bahawa seperempat daripada semua wanita akan hidup seorang dalam tahun 2020. (hal. 261).

e. Dan tentang perkahwinan pula dinyatakan ‘Unfortunately some of the briefest marriages are those that follow a long period of cohabitation’ (Sayangnya setengah daripada perkahwinan yang paling tidak lama bertahannya ialah perkahwinan yang berlaku selepas lama bersekedudukan) (hal. 266). Ini menjadi bahan renungan bagi mereka yang berpegang kepada dasar ‘testing the waters’ (menguji dahulu sebelum bertindak). Ini semua diperhatikan kerana ia datang daripada pejuang feminisme dan kebebasan hidup seksual hasil daripada pemikiran secara pascamodernisme tentang pengetahuan dan moral serta kehidupan seks.

f. Tentang pornografi, yang menjadi sebahagian yang terlibat dalam pembebasan seksual ini, Germaine Greer membuat kenyataan yang menarik dan tepat. Katanya: “Pornografi ialah perbuatan melarikan diri daripada wanita (flight from women), penafian lelaki terhadap seks sebagai satu cara komunikasi, penafian mereka terhadap seks sebagai asas satu hubungan, penolakan mereka terhadap kebapaan, keadaan mereka dalam keremajaan yang mengikut nafsu seks yang berterusan. Yang menjadi mangsa pornografi adalah lelaki bukan wanita…’ (hal. 191). Dan dalam pornografi berlaku penghinaan terhadap wanita yang menjadi objek keseronokan seksual dan kepuasan nafsu seks.

g. Tentang perkahwinan pula, menarik juga Greer membuat kenyataan bahawa ‘…orang lelaki memerlukan perkahwinan lebih daripada wanita. Seorang lelaki yang tidak ada isteri adalah rapuh dirinya (‘fragile’), penjara-penjara penuh dengan lelaki yang tidak pernah berkahwin. Orang lelaki yang tidak berkahwin lebih berkemungkinan mati dalam keadaan ganas dan kejam (violently). Orang-orang lelaki yang berkahwin mendapat markah yang tinggi dari segi kepuasan dan kesejahteraan jiwa (psychological wellbeing) …” (hal. 266).

14. Antara kegagalan-kegagalan usaha pihak yang terpengaruh dengan aliran kesetaraan gender ini, selain daripada di atas, disebut oleh Abdal Hakam Murad dalam artikelnya ‘Boys will be Boys’ ialah: bagaimana wanita-wanita menjadi ‘hamba’ dalam industri kecantikan, dan industri fesyen dengan kesan-kesan atas peribadi wanita, wanita menjadi ‘hamba’ kepada industri ‘pharmaceutical’ dengan alat-alat solekan yang menelan belanja yang terlalu banyak, dengan terapi hormon, wanita mengambil ‘prozac’ kerana kemurungan, itu ubat yang sama diberi kepada haiwan-haiwan dalam zoo untuk menenangkan mereka dalam keadaan terkurung itu, kegagalan dalam usaha untuk membuktikan ketahanan fisikal dengan data-data dari pihak tentera Barat, kegagalan percubaan kibbutzim di Israel untuk membuktikan kesetaraan gender dalam semua segi, akhirnya wanita dengan sifat-sifatnya dan lelaki dengan sifat-sifatnya yang mesti diambil kira dalam perkembangan masyarakat dan budaya, termasuk bidang ilmiah dengan kegiatan-kegiatan yang sesuai dengan keadaan diri masing-masing.

15. Sebagaimana yang boleh diperhatikan bahawa apa yang berlaku dan berkembang adalah berupa cabaran-cabaran terhadap wanita Islam yang berdepan dengan fenomena demikian (dengan tidak melupai kesan-kesan amalan tentang kelonggaran nilai-nilai moral dan kekeluargaan yang kelihatan dalam negara kita sendiri sebagaimana yang dilapor dalam media). Secara ringkasnya cabaran-cabaran itu adalah seperti berikut:

a. Cabaran terhadap jati diri wanita sebagaimana yang diajarkan dalam Islam: wanita sebagai individu Muslimah yang wajib menjaga dirinya-agamanya, akalnya, jiwanya, nyawanya, badannya, keluarganya, zuriat keturunannya. Ia berdepan dengan falsafah dan amalan yang menafikan kebenaran agama, ajaran rohaniah, akhlak, dan sosial sebagaimana yang ada dalam Islam, termasuk terutamanya ajaran tentang hidup kekeluargaan. Cabaran ini memerlukan usaha yang tepat dan berkesan untuk menimbulkan fahaman dan keyakinan yang kental yang mampu memberi kekuatan kepada para wanita dengan jati diri yang teguh.

b. Cabaran dalam hidup dirinya – ia berdepan dengan ajaran dan amalan yang memberi kebebasan seksual yang merosakkan agamanya, moralnya, maruah dirinya, fitrahnya, dan mendatangkan azab dalam alam yang kekal abadi.

c. Ia berdepan dengan falsafah yang mengajarkan kesetaraan dengan lelaki sehingga tidak timbul lagi konsep ketaatan kepada suami (bila ia berkahwin), ketaatan kepada kedua ibu bapa (bila belum berkahwin). Ini kerana ajaran baru falsafah pascamodernisme dan feminisme yang menolak kebenaran-kebenaran daripada wahyu dan kenabian, dan apa yang timbul daripadanya, kerana itu semua wacana agung yang mesti ditolak. Ia berdepan dengan konsep dan ajaran yang tidak mementingkan maruah sebagaimana yang diajarkan dalam Quran (sebagaimana yang jelas dalam kisah Siti Maryam bonda ‘Isa a.s. bila ia diingatkan tentang keluarganya yang baik, ibu dan bapanya bukan orang-orang yang rosak akhlaknya) dalam ayat:

ما كان أبوك امراسوء وما كانت أمك بغيا

yang bermaksud:

Ayahmu bukanlah sekali-kali seorang yang jahat dan ibumu sekali-kali bukanlah seorang penzina [maka mengapakah kamu demikian ini membawa bayi tetapi tidak berkahwin?] (Surah Maryam: 28).

d. Ia berdepan dengan ajaran dan amalan yang memberi kebebasan yang akan menimbulkan penderitaan dan kerosakan atas dirinya dan masyarakat. Termasuk ke dalamnya ia berdepan dengan budaya selebriti yang mesti digantikan dengan budaya ‘uswatun hasanah’ dari Quran dan sunnah dan sirah dengan cara yang meyakinkan, juga budaya kepenggunaan untuk menunjuk-nunjuk (conspicuous consumerism) dengan budaya kepenggunaan yang berhemat dan bijaksana, mengikut ajaran Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dengan kefahaman yang tepat dan penuh keyakinan. Mereka yang tersasul perlu diberi perlindungan dan khidmat nasihat yang menyelamatkan.

e. Dalam Islam terdapat ketaatan yang bertertib, mulai daripada ketaatan kepada Tuhan, rasul, ibu bapa, yang muda kepada yang tua. Pelanggaran ketaatan itu membawa kepada: kekufuran (kalau paling berat), kemaksiatan, atau kurang keutamaan. Dalam ajaran dan amalan yang dipengaruhi oleh pascamodernisme dan feminisme itu semua tidak ada. Yang ada adalah penegasan tentang hak diri dan kesetaraan gender dan kebebasan (kebebasan mendapat keseronokan seksual, dengan bangga, kebebasan daripada tunduk kepada suami, sebenarnya penghormatan dan ketaatan bertempat, ia sepatutnya berupa keharmonian gender, bukan kesetaraannya, pada tahap paling dalam ia hubungan antara jalal dan jamal, yang lelaki jalal, kehebatan, yang perempuan jamal, keindahan, gabungan antara keduanya membawa lepada kesempurnaan; bahkan pada paras yang paling dalam alam ini menunjukkan jalal dan jamal).

f. Ini terbayang dalam hidup keluarga sebagaimana nyang diajarkan dalam Qur’an:

ومن أياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا اليها وجعل بينكم مودة ورحمة

Yang bermaksud:

Dan antara ayat-ayatNya ialah Ia menjadikan dari diri kamu pasangan-pasangan kamu supaya kamu hidup dengan mereka dengan tenang dan puas, dan Ia jadikan antara kamu [dalam hubungan antara kamu dalam keluarga] kasih sayang dan kasihan belas’ (Surah al-Rum: 21)

g. Ia berdepan dengan tugas mengasuh anak dan menjaga suami supaya hidup mengikut prinsip-prinsip dan nilai-nilai Quran dan Sunnah dengan penuh yakin, supaya ajaran dan amalan ini diteruskan oleh generasi seterusnya di kalangan umat Islam. Dan kalau dia orang yang mempunyai profesi ia tidak mengabaikan tugas-tugas itu selain daripada ia melaksanakan profesinya.

h. Ia berdepan dengan cabaran menjaga keluarga, yang merupakan institusi yang rabbani, bukan hanya ciptaan manusia kerana kebetulan kepentingan kebendaan dan keselamatan. Ia adalah berupa perintah yang dimulakan ke atas lelaki, dan wanita yang berikutnya. Perintahnya ialah:

يا أيها الذين امنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا

yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluargamu daripada api neraka (Surah Tahrim:6).

Maka keluarga adalah pusat pendidikan agama yang menyelamatkan manusia daripada neraka.

i. Dan wanita dalam keluarga pula sebagaimana yang ada dalam hadith bahawa ia adalah ‘pemimpin’ dalam keluarganya (هى راعية فى بيت زوجها وهى مسؤولة فى رعيتها): Dia pemimpin (pengembala) dalam rumah suaminya dan ia akan ditanya tentang jagaannya ke atas mereka di bawah tanggungannya. (hadith sahih dari riwayat Bukhari dan Muslim). Dan dalam dalam hadith yang lain maka yang menentukan bahawa anak yang lahir dalam fitrah itu tidak menjadi Nasrani, Yahudi atau Majusi ialah keluarganya (كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه ) (Sahih al-Bukhari)

j. Ia berdepan dengan cara berfikir yang kehilangan mizan yang berupa keseimbangan semesta yang menjamin kesejahteraan sistem kehidupan dunia dan manusia anak Adam ini. Ia terkandung dalam ayat-ayat Surah al-Rahman yang bermaksud: Tuhan Yang Maha melimpah Kasihan BelasNya, Yang telah mengajarkan Qur’an, Dia menciptakan manusia, Mengajar kepadanya kemampuan berbicara, Matahari dan bulan beredar menurut perhitungan, dan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohonan kedua-duanya tunduk kepadaNya, Dan Allah telah meninggikan langit dan Dia meletakkan Neraca [keadilan semesta], supaya kamu  jangan melampau batas Neraca itu, dan tegakkanlah timbangan itu dan jangan kamu kurangi [dalam menurut] neraca itu (Ar-Rahman: 1-9). Maka menurut Neraca semesta itu adalah tugas manusia, yakni kembali kepada Neraca dalam Islam dan konsep fitrah yang berjalan dalam Neraca Semesta ciptaan Tuhan. Kesedaran tentang hidup dalam mizan semesta dan fitrah ini perlu berikan dengan penuh yakin oleh semua pihak, mulai daripada keluarga, sekolah, masjid dan masyarakat setempat, supaya ia mampu memberi kekuatan yang sebenarnya kepada para wanita untuk menangkis unsur-unsur yang negatif dalam budaya masakini kesan daripada pengaruh falsafah yang tersasul itu.

16. Keluarga dalam Islam satu institusi Rabbani, dinyatakan dalam Quran dan sunnah, dengan peranannya dan fungsinya dari alam dunia sehingga ke alam abadi. (Ayat yang menyebut doa orang mukmin memohon pasangan-pasangan dan zuriat keturunan yang ‘menyejukkan mata’ (dan hati), serta doa para malaikat hamalatul-arsy supaya mereka masuk syurga bersama-sama mereka yang soleh dari bapa-bapa, nenek moyang dan zuriat keturunan mereka. Dan doa kepada ibu bapa yang termasuk ke dalam erti ‘berbuat baik kepada kedua ibu bapa’.

17. Doa-doa itu maksudnya seperti berikut: Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami pada pasangan-pasangan dan zuriat kami mereka yang menyejukkan mata [dan hati] dan jadikanlah kami contoh tauladan bagi mereka yang bertaqwa (al-Furqan:74), Dan dalam Surah al-Mu’min ayat 7-9 bermaksud ‘(Malaikat-malaikat) yang menanggung ‘Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepadaNya serta memohon ampun untuk orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): Wahai Tuhan kami, rahmat dan Ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau, dan peliharalah mereka dari seksa Neraka yang bernyala-nyala. Wahai Tuhan kami, dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga Jannatu Adnin yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang soleh di antara bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan zuriat keturunan mereka, sesungguhnya Engkaulah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan, dan orang-orang yang Engkau pelihara dari (pembalasan) kejahatan pada hari itu maka sesungguhnya Engkau anugerahkan rahmat kepadanya, dan itulah kemenangan yang (amat) besar’. Hubungan kekeluargaan ditunjukkan bukan hanya berlaku di dunia tetapi sehingga ke alam abadi. Alangkah bahagianya manusia yang mempunyai keluarga yang membawanya sehingga tercapai kebahagiaan yang kekal abadi yang tidak terdaya bahasa manusiawi melafazkan kepuasaan dan kebahagiaannya. Allahumma’rzuqna amin. Adakah kita hendak membiarkan pascamodernisme dan feminisme dari Barat menghancurkan janji-janji dan jalan-jalan kesejahteraan ini dan kita tidak hendak memeliharanya? Adakah kita hanya terpesona dengan janji-janji feminisme Barat yang antaranya Greer sendiri dan orang-orang yang sepertinya mengakui ia gagal membahagiakan dan menyelamatkan manusia?

18. Feminisme Barat tidak sesuai dibawa ke sini kerana: ia berasal daripada sejarah budaya Barat yang berhubung dengan konsep wanita sebagai ‘jahat’ dalam Bible, dengan tanggapan tentang seks sebagai negatif ‘I was born in sin …’ dan ‘I was conceived in sin’ , wanita dianggap sebagai Iblis , dengan undang-undang Barat yang membuat diskriminasi terhadap wanita, yang semuanya tidak ada dalam Islam, wanita dan lelaki menjadi ‘one flesh’ , ajaran Katholik yang menganggap wanita unggul tidak berkahwin, demikian seterusnya.

19. Di Barat ajaran feminisme menganggap agama sebagai penghalang kemajuan dan kesejahteraan –dalam Islam agama memberi impetus kepada kemajuan dan kesejahteraan wanita dan kehidupan.

20. Ideal kewanitaan Islam yang ada dalam Quran dan hadith Nabi saw dan tokoh-tokoh unggulnya, itu adalah ideal yang wanita zaman ini perlu kembali kepadanya dengan yakin.

21. Yang menjadi masalah sekarang, bagi wanita Islam, bukan Islam dan tradisinya (kecuali apa-apa yang bercanggah dengan ajaran Islam yang menjadi budaya di setengah-setengah kawasan seperti ‘honour killing’ –orang membunuh ahli keluarga dengan sengaja kerana menjaga maruah seperti dalam kes ada anak perempuan yang terlibat dalam cinta terlarang). Atau budaya meminggir wanita sehingga terganggu perkembangan peribadinya untuk menjadi manusia yang berpengetahuan, beradab, bertamadun, berketerampilan dan seterusnya. Maka yang menjadi masalah ialah masuknya cara-cara berfikir dan ideologi yang bercanggah dengan Islam, prinsip-prinsip dan nilai-nilainya, juga adanya gambaran-gambaran tidak benar tentang Islam oleh musuh-musuhnya dan orang-orang Islam sendiri yang memberi gambaran yang tidak benar itu

22. Cara berjuang untuk wanita sekarang ialah dengan membela kepentingannya dan hak-haknya termasuk tugas dan peranannya secara menyeluruh dengan juga melihat kepada pihak-pihak lelaki dan lainnya dalam masyarakat bukan hanya memberi kepentingan wanita sahaja sehingga terabai bahagian-bahagian lain; dan hak-hak itu pula hendaklah dilihat dari kaca mata Islam yang menyeluruh bukan sebahagian-sebahagian sahaja – misalnya perlu diketahui hukum tentang hubungannya dengan ibu bapanya dan suaminya dan ahli masyarakat lainnya dan seterusnya, dan bukannya melihatnya dalam konteks ajaran pascamodernisme feminis dari Barat yang membahayakan dirinya dan masyarakatnya. Kepentingan masyarakat hendaklah dilihat dari semua segi: peribadi, kekeluargaan, masyarakat, ekonomi, pendidikan, budaya, seni dan seterusnya.

23. Antara perkara-perkara yang membantu dalam meneruskan jalan kita ke hadapan ialah:

a. Mengenali Islam-prinsip-nilai-nilai – sejarah-ilmu-dan keyakinan di dalamnya;

b. Mengenali masakini -nilai-nilai, prinsip-prinsip masakini- membentuk yakin diri dalam Islam, berhubungan dengan masakini itu, nilai-nilai, prinsip-prinsipnya, norma-normanya, sejarahnya

c. Membuat rangkaian dalam masyarakat untuk membela prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang diyakini, termasuk rangkaian dengan pihak-pihak yang mempunyai sistem kepercayaan lain dalam rangka dialog peradaban, dalam mendepani aliran-aliran pemikiran dari Barat yang perlu dicernakan dengan baik, dengan cara yang cermat dan berkesan, oleh orang-orang yang boleh diharapkan boleh menangani aspek ini dengan baik, demi perkembangan hidup wanita dan kemajuannya yang mensejahterakan dalam negara ini dan umat. Amin.

d. Memberi jawapan kepada pemikiran-pemikiran dan ideologi-ideologi yang menyerang prinsip-prinsip Islam dan norma-normanya.

Wallahu a’lam.

Nota:

Asalnya ini naskah kertaskerja yang dibentangkan dalam seminar IKIM dengan judul ‘Wanita Dalam Era Cabaran Era Pascamodernisme’ beberapa bulan lalu, dan di sini dibentangkan kembali dengan beberapa tambahan dan penyesuaian mengikut keperluan yang diisyaratkan oleh pihak penganjur malam ini.

*****************

Bibliografi ringkas:

  • Mats Alvesson, Postmodernism and Social Research, Open University Press, Buckingham-Philadelphia, 2002.
  • Bridges Books, Tudung Beyond Face Value, by Terence Nunis@Saif Uddeen Farlis, Ustaz Abdul Aziz Mohammad and others, dengan foreward oleh Assoc. Prof. Dr. Hussin Mutalib, Director-General, Centre for Contemporary Islamic Studies, Singapore, 2002,
  • Germaine Greer, The Female Eunuch, Farrar, Straus and Giroux, New York,2001.
  • –, The Whole Woman, Anchor Books, New York, 2000.
  • Jacques Derrida, Of Grammatology, tr.Inggeris oleh Gayatri Chakravorty Spivak, The Johns Hopkins University Prsee, Baltimore dean London,  1976
  • Lois Lamya’ al Faruqi, Dr., Artikel: Islamic Traditions And The Feminist Movement: Confrontation Or Cooperation? (dalam http://www.jannah.org/sisters/feminism.html) (Diakses 15-April 2011)
  • Muhammad Uthman El-Muhammady, Pscamodernisme dan Islam: Satu pandangan Awal, Monograf 3, Akademi Kajian Ketamadunan, Kompleks Darul Hikmah, Kajang 2004.
  • Shaikh ‘Abdal Hakam Murad, “Boys will be Boys” dalam http://www.masud.co.uk/ISLAM/ahm/boys.htm (diakses 17-4-11).
  • Islam, Irigaray, and the retrieval of gender (April 1999), (www.masud.co.uk) (diakses 17-4-11
  • Simon Blackburn, Oxford Encyclopedia of Philosophy, artikel ‘feminism’ dan ‘postmodernism’  , Oxford University Press, Oxford., 1996.
  • Stanford Encyclopedia of Philosophy on line, artikel ‘postmodernism’, ‘feminism’ dan tajuk-tajuk yang berkaitan. http://plato.stanford.edu/entries/feminism-epistemology
  • Ibid., postmodernism–epistemology dan lain-lainnya (diakses 17-4-11).
  • Foucault, The Archæology of Knowledge -Chapter 1-The Unities of Discourse-Source: The Archaeology of Knowledge (1969), publ. Routledge, 1972. The First 3 Chapters of main body of work are reproduced here.

***********

Lampiran:

Ban on niqab:

http://twocircles.net/2011apr14/france_niqab_ban_blatant_attack_islam%E2%80%9D_says_uk_journalist.html

France Niqab ban ‘blatant attack on Islam,” says UK journalist

By IRNA,

London: France’s enforcement of a ban on women wearing a face veil is akin to “the politics of the Nazis,” says British journalist and broadcaster Yvonne Ridley.

“This is a blatant attack on Islam from an Islamaphobic state run by opportunist politicians, who are trying to win cheap votes at the cost of a minority group of women,” said Ridley, who is also European President of the International Muslim Women’s Union.

“The veil is a symbol of piety and who would punish a woman for her piety? Certainly no one if she was a Roman Catholic Nun but it seems in secular France it is open season on Muslims,” she told IRNA.

Political commentators have also linked this week’s introduction of the law with French President Nicolas Sarkozy being accused of stigmatising Muslims to win over the far-right vote and counter the rise of the Front National at a time when his poll ratings are at record low ahead of next year’s presidential election.

Ridley also criticised attempt to justify the niqab ban with the so-called terrorist threat as “nonsense” and referred back to the campaign against men with a beard, saying there was “not one beard among the 19 hijackers who wreaked death and destruction on America on September 11 2001.”

“Criminals who are intent on committing crimes would not dress in such a manner – when did you last hear of women wearing niqabs holding up a bank or being involved in armed robberies or mugging old ladies?” she said.

The British journalist expressed concern about the state intervention of what can and cannot be worn, saying “a woman’s wardrobe is no place for a man regardless of who he is or how he prays.”

“When the state starts dictating what women can and cannot wear then we are entering uncharted waters. Where will it end? It also gives the Islamaphobes and racists another stick with which to beat Muslims,” she said.

In her interview with IRNA, Ridley also spoke about a current attempt in Britain to pass legislation to ban the face veil by way of a Private Member’s Bill, which is due to get its second reading by the end of the year….


[1] Dalam Oxford Encyclopedia of Philosophy,  artikel ‘postmodernism’, hal.  294-295.

[2] Dari Oxford Encyclopedia of Philosophy, artikel ‘feminism’, oleh Simon Blackburn, Oxford University Press, Oxford., 1996, hal.137-138

[3] Anchor Books,New York, 2000

[4] Farrar, Strauss andGiroux,New York, 1970,1971.

Satu Kelas Pengajian Kitab Mingguan membicarakan kitab Tauhid “Usul ad-Din” yang dikarang oleh al-Imam ‘Abdul Qahir al-Baghdadi diadakan di:

No. 2623, Jalan Permata 15
Taman Permata, Ulu Klang
[bersebelahan Giant – dekat Taman Melawati dan Zoo Negara]
(kediaman Sdr. Mohd Kamal Omar – klik untuk panduan peta)
 

Di bawah bimbingan oleh Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady (ISTAC)

Kelas ini diadakan pada setiap hari Selasa (kecuali Selasa pertama) bermula jam 9:15 malam (sekitar 2 jam)

Kitab kedua yang dibaca adalah kitab Tasauf : “Risalah Qushairiyah” oleh Imam al-Qushairiy

Kepada sesiapa yang berminat dipersilakan hadir dan jika perlu maklumat lanjut boleh hubungi saya sendiri

(Karim – 019-3199788)

Alhamdulillah, wacana tersebut berjalan baik dan mendapat sambutan dengan kehadiran seramai 500 peserta.

Baca resolusi di sini: Resolusi Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah

Baca laporan lain di sini:

Ingatkan saya …

... dalam pelbagai pertemuan dengan saudara-saudara sekalian, terutama selepas mana-mana sesi taklimat, kadang-kadang ada yang meminta sesuatu dari saya. Kerap kali dalam kesibukan serta kelemahan saya sendiri, ada ketika janji-janji tersebut terlupa saya tunaikan ... tolong ingatkan saya. PM di FB saya atau emel kepada saya akarimomar.wordpress.com/about

***

akarimomar Youtube Channel

Click here to go to my Youtube Channel:
http://www.youtube.com/akarimomar

Buku-buku Armies of God dan Sang Nila Utama & Lion of Judah MESTI DIBACA

Tulisan Mr. Iain Buchanan yang mendedahkan agenda Evangelis Kristian ...
Untuk tempahan dan pesanan.

Buku2 Iain - poster1

.

Bicara Promoter LGBT

Maulid Pelajar Tahfiz

Tembakan Bedil di Bukit Pak Apil

Klik untuk tonton

Buku-buku Karangan Awang Goneng: Growing Up in Trengganu + A Map of Trengganu

DAPATKAN NASKAH ANDA SEKARANG !!!
Klik imej:

.

PLACE YOUR ORDER NOW !!!
SMS: 019-3199788 (Karim)
email: akarimomar@yahoo.com

Bacaan Hizib

Archives

Effective Islamic Parenting

May 2024
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Taqwim Solat – Prayer Time

Al Masjid – Memakmurkan masjid

Sinopsis Kitab Fiqh Akbar

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 361 other subscribers

Tauhid