You are currently browsing the tag archive for the ‘pembangunan’ tag.

Al kisah bahawa ada peniaga yang terbabit dengan tindakan LTAWNT mengeluarkan notis arahan mengosongkan premis mendoakan agar ada pilihanraya kecil baru di DUN Bandar kerana kematian Adunnya sebagaimana tercerita oleh saya di akhir Ramadan yang lalu. Dengan terhebahnya apa yang saya lapor dari perbualan beberapa peniaga/pekerja terbabit maka YB Toh terasa amat terkilan.

Terkilannya YB Toh bolehlah saya fahami. Terlapornya oleh saya adalah sekadar berkongsi cerita perbualan orang ramai perihal nasib mereka. Terluhurnya kata mereka pun boleh saya fahami demi memikirkan kaedah-kaedah yang mungkin boleh menyelamatkan perniagaan mereka.

Sememangnya dalam pilihanraya banyak janji ditabur. Apatah lagi apabila pilihanraya kecil. Dalam PRK, seluruh perhatian tertumpu kepada satu kawasan yang kecil hingga sesak segala jalanraya yang ada. Habis hotel dipenuhi walaupun jarak yang agak jauh. Pelbagai rumah disewa untuk dijadikan bilik gerakan parti.

Maka, bagi mereka yang masa depan perniagaan mereka dan para pekerja yang sedang bersedia untuk menghadapi Ramadan amat tertekan dengan arahan kerajaan yang merakyatkan pentadbiran dan sudah pastilah pilihanraya kecil mampu menarik perhatian seluruh negara bagi menagih simpati perihal nasib yang menimpa mereka.

Dengan itu, tidaklah termampu untuk saya halang pelbagai buah fikiran tercerna dari mereka yang pelbagai latar belakang ini. Jika saya tidak laporkan dalam catatan blog ini ianya tidak menjamin sesiapa pun untuk menutup mulut mereka yang terketar menangis menerima notis arahan 30 hari tersebut. Yang tidak lena tidur dan tidak lalu untuk makan pun tidak terbilang lagi ramainya. MB yang merakyatkan pentadbiran agak berkeras dengan pendiriannya (walaupun kenyataannya banyak tersasar dari kenyataan).

Maka sampainya berita bahawa YB Toh terkilan dengan saya yang menulis atau mereka yang meluahkan isi fikiran mereka adalah melalui orang ketiga atau keempat. Dikatakan beliau beritahu si anu dan si anu beritahu yang lain dan yang lain sampai kepada kenalan saya yang akhirnya sampai ke teliga saya.

Seperti saya sebut tadi sememangnya wajar YB Toh terasa. Cuma yang saya tidak faham ialah kalau seorang YB terasa amat terkilan dengan para pengundinya yang meluahkan fikiran seperti itu atau pelbagai lagi terhadapnya maka tidak wajar untuk menjadi seorang “public figure”. Siapa agak yang jadi public figure tetapi tidak pernah dicemuh atau dikatakan pelbagai seranah. Baik ahli politik, artis, mahupun ahli korporat, mereka tidak lekang menghadapi situasi sedemikian!

Tun Dr. Mahathir antara orang yang dahsyat dicemuh pelbagai pihak – termasuk orang partinya sendiri. Malah yang doakan Mahathir mati cepat pun terlalu ramai. DS Samy Vellu sudah lali dengan cemuhan termasuk dari Mahathir sendiri. Hatta “orang agama” pun ada yang dicemuh. Michael Jackson yang diminati ramai peminatnya pun dituduh dengan pelbagai fitnah. DS Anwar Ibrahim tidak juga selesa dengan pelbagai tuduhan dan cemuhan baik semasa dalam kerajaan dan juga kini di luar. DS Najib sekarang pun. Terhadap isterinya Rosmah pun ada yang mengeluarkan video “Rosmah puaka”. Lagi dahsyat kalau kita tonton sirinya. Tetapi sebagai “public figure” itu sudah menjadi adat dunia. Tidaklah saya merestui sebahagian besarnya – tetapi itulah resamnya.

Bak kata orang, mulut tempayang boleh ditutup. Mulut manusia memang susahlah nak tutup. Kalau kita tidak sanggup diperkatakan, jangan masuk gelanggang ini. Gelanggang politik sememangnya kotor. Dipandang baik oleh seseorang tidak menjamin didoakan kebaikan oleh semua.

Satu lagi yang saya turut hairan ialah kenapa YB Toh tidak tegur saya terus – tidak perlu melalui orang lain. Samada komen terus dalam blog saya ini. Atau hantar sahaja emel bantahan kepada saya (emel pun ada diberi). Atau berjalan sahaja sebelah pagar rumahnya di Jalan Pusara dan beritahu sahaja kepada saya (kerana rumah arwah Bonda saya sebelah rumahnya sahaja). Dari mula tertulis posting tersebut sehingga beberapa hari lepas saya berada di Kuala Terengganu sebelah rumahnya je! (dan selalulah nampak Mercedes Exconya dalam pagar rumahnya).

Namun yang paling penting, jangan kerana terkilan dengan kata-kata dua-tiga orang yang terasa tertekan dengan kerajaan yang semacam tidak ambil endah dengan nasib rakyat YB terus nak merajuk dan tidak mahu ambil kisah langsung. Tanggung jawab seorang YB tetap perlu dipikul walauapapun sehinggalah suatu pilihanraya lain diadakan.

Dan tidak wajar juga YB terkilan dengan saya. Saya hanya syorkan kepada beberapa peniaga dan pekerja (baca balik post tersebut) yang kebetulan kami berjumpa pagi tersebut agar menadahkan doa di akhir Ramadan itu supaya Allah izinkan mereka terus diberi peluang untuk berniaga sehingga suatu tempoh yang sesuai dan wajar. Tidak langsung saya yang cadangkan doa untuk YB mati. Dan kalaulah YB bersama dalam majlis tersebut, celahan kata-kata tersebut lebih berbentuk gurauan secara berseloroh. Dan sebenarnya – itu bukan pertama kali saya dengar. Malah dalam perbualan lain ada juga yang kata kalau YB Wahid mati – kita dapat dua perkara: PRK untuk menagih simpati dan juga rekod baru kerana dua kali PRK dalam satu penggal bagi satu-satu kawasan.

Akhir kalam, kalaulah kita agak “superstitious” dengan orang sebut pasal kita mati maka tidaklah wajar memilih kediaman di Jalan Pusara. Kan gitu? Namun, kawasan inilah terdapat bilangan mereka yang bergelar Datuk paling ramai di satu-satu taman/kawasan di Terengganu. Boleh mengantikan Kampung Datuk (dekat Pasar Payang) yang telah dirobohkkan oleh bekas MB Wan Mokhtar 30 tahun lalu.

Setiap kali ditanya pemberita berhubung notis arahan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) menghalau para peniaga dari premis perniagaan di Jalan Bandar dan Jalan Banggol, Kuala Terengganu, MB Datuk Ahmad Said akan mengatakan mereka (para peniaga) telah mendapat pampasan dan perlu akur dengan notis.

Itulah sebab yang saya katakan MB tidak faham isu dan keliru.

12092009(018)Pertamanya, para peniaga yang berniaga di premis tersebut adalah penyewa yang telah menyewa tapak perniagaan tersebut dari LTAWNT semenjak 15 tahun lalu, walaupun ada yang bertukar ganti. Malah ada juga yang baru mula menyewa awal tahun ini.

BeritaHarian - 12Ogos2009

Tidak semua pemilik kedai dulu meneruskan perniagaan. Walaupun begitu - mereka kini berstatus penyewa dengan terma kontrak lain.

Maka mereka ini adalah penyewa tapak yang dikutip sewanya oleh LTAWNT. Mereka bukan pemilik premis. Sebagai penyewa mereka belum pernah menerima sebarang pampasan. Walaupun sebahagian dari mereka telah berniaga dari sebelum LTAWNT mengambilalih pemilikan bangunan bersejarah ini, hanya sebahagian kecil sahaja adalah pemilik asal bangunan yang masih berniaga dan kini mereka berstatus penyewa.

Sebagai penyewa, para peniaga membayar sewa setiap bulan dan samada peniaga yang baru menyewa mahupun peniaga yang telah menyewa dari awal lagi, mereka tidak pernah sekali pun menerima sebarang maklumat rasmi dari LTAWNT untuk memaklumkan penamatan kontrak sewa mereka (atau amaran akan selama mana lagi tempoh kontrak mereka). Malah setiap kali kakitangan LTAWNT yang datang mengutip sewa, soalan lazim para penyewa adalah bila agaknya kerajaan akan membangunkan tapak perniagaan mereka. Dan soalan lazim tersebut sentiasa dijawab dengan ketidaktentuan dan selalu mendapat maklum bawa kerajaan belum lagi bersedia untuk membangunkannya.

Maka setiap bulan itulah para peniaga meneruskan perniagaan mereka. Mereka terus merancang untuk membina dan mengembangkan perniagaan mereka. Seorang peniaga emas di Jalan Banggol baru beberapa bulan mengambil alih penyewaan dari penyewa sebelum ini dan membelanjakan RM65,000 lebih. Dan tidak sampai enam bulan pelaburannya tersebut ingin dileburkan dengan notis singkat 30 hari.

Malah pada hari beliau ke pejabat MB untuk merayu nasib yang menimpa perniagaannya yang baru hendak bermula apabila menerima notis yang mengejutkan tersebut, kedainya dirompak denga kerugian lebih RM200,000. Inilah yang dipanggil sudah jatuh ditimpa tangga.

Senarai cerita para peniaga yang bersungguh menyediakan perniagaan mereka untuk menyambut kedatangan Syawal yang selalunya dinantikan kerana memberi peluang baik perniagaan setahun sekali. Kebanyakan mereka merasa terlalu hampa dengan tindakan LTAWNT mengeluarkan notis di saat yang amat dinantikan para peniaga. Notis tersebut memberi kejutan hingga kebanyakan mereka tidak berselera untuk makan dan tidak dapat tidur lena.

Mereka ini, para penyewa premis milik LTAWNT (lembaga yang diamanahkan untuk menjaga warisan negeri – bukan meruntuhkan!), tidak pernah menerima sebarang pampasan dari mana-mana agensi kerajaan.

[Ulasan berhubung status pemilik kedai yang dikatakan telah diberi pampasan telah pernah siarkan – #1]

Perkara kedua yang selalu diungkit MB ialah para peniaga perlu akur dengan arahan kerajaan. Benar, sebagai pemilik premis, kerajaan boleh menamatkan kontrak sewaan bila-bila masa. Malah, para peniaga semuanya akur jika itulah kehendak kerajaan yang dipilih mereka sendiri ingin menghalau mereka – apakah daya mereka juga yang memilih kerajaan hari ini.

Namun, yang terdetik di hati mereka dan ingin disuarakan ialah agar diberikan tempoh yang munasabah. Dalam masa 30 hari para peniaga tidak dapat berbuat apa-apa kecuali terpaksa menutup perniagaan mereka. Walaupun menutup perniagaan mereka, apa akan mereka lakukan dengan timbunan stok yang ada, di mana hendak dilonggokkan, bagaimana dengan nasib pekerja-pekerja mereka yang mempunyai tanggungan? Ini semua yang merungsingkan mereka.

sinarharian-30hari tidakrealistik-scanBayangkan seorang peniaga emas, yang mungkin mempunyai barang kemas yang bernilai. Ke manakah hendak mereka bawa dan sorokkan. Ke rumah mereka? Tahulah nanti mereka akan menjadi sasaran utama para perompak. Kenalah difikirkan segala aspek ini. Untuk pindah dalam masa 30 hari sememangnya tidak realistik.

Seorang peniaga penghawa dingin dengan segala peralatan menyelenggaranya. Barangan-barangan ini semua memerlukan tempat dan ruang yang sesuai untuk dipindahkan.

Bagi mertua saya yang berniaga buku warisan dari 3 keturunan yang telah menjangkau satu abad, tidak mudah untuk beliau memunggah susunan buku dari barisan rak untuk dilonggokkan di suatu tempat baru. Tempat baru perlu dicari. Untuk mendapat tempat baru, perlu melalui proses perjanjian sewa yang tidak semudah dengan beberapa hari sahaja. Kemudian tempat baru itu perlu diubahsuai, menyediakan rak-rak yang sewajarnya, memunggahkan buku-buku dan disusun semula di premis yang baru. Dan 30 hari adalah mustahil. Hatta 3 bulan pun pasti belum memadai.

Apakah kerajaan tidak memikirkan kerumitan dan masalah rakyat mereka? DUN Bandar adalah kawasan yang memilih calon BN untuk menang dalam PRU lalu. Apakah kerajaan begitu mudah untuk menukar senyuman manis mereka dalam hari-hari berkempen hinggakan setelah lebih 2 bulan isu ini bergelora masih belum ada wakil kerajaan yang berani untuk untuk turun padang? Kalau tidak mahu turun padang pun tidak mengapa, bukalah pintu pejabat untuk memberi peluang para peniaga menyuarakan nasib yang menimpa mereka.

Kalaulah MB berslogan untuk “merakyatkan kerajaan” dengan pernah sekali akhbar menunjukkan MB membaiki atap sebuah rumah di kampung jangan ianya hanya tinggal sekali itu sahaja. Apakah para peniaga ini rakyat sah negeri Terengganu juga? Janganlah slogan itu tergantung di papan-papan iklan di merata sebagai retorik sahaja.

Marilah kita berunding untuk mencari penyelesaian terbaik untuk mereka yang telah berbakti untuk sama-sama membangunkan sektor ekonomi negeri Terengganu.

Teringat buku pengurusan yang amat popular suatu ketika dahulu “In the Search of Excellence”, Tom Peters mengatakan pengurus yang baik tidak mengurus hanya dari menara gading. Mereka mengurus dengan turun ke padang dan memahami masalah orang-orang yang mereka uruskan. Mungkin itu agak bertepatan dengan slogan MB untuk merakyatkan kerajaan. Tetapi biarlah ianya dilaksanakan bagai dilaung.

Setelah lebih sebulan saya tidak pulang ke Kuala Terengganu, beberapa para peniaga di Jalan Bandar dan Jalan Banggol yang diberi notis arahan keluar dari premis perniagaan mereka tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu dan berbincang. Urusan di Kuala Lumpur pun tidak dapat dielakkan juga.

Sebagai koordinator Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol**, terasa juga semacam tidak adil kerana terlalu lama tidak bersama mereka berbincang dan merangka pelan tindakan untuk merayu kepada kerajaan. Walaubagaimanapun hubungan telefon jarak jauh tetap dikekalkan.

Dalam kerungsingan mereka yang berniaga, beberapa orang dari mereka kerap menelefon menceritakan rungsing dan tidak lena tidur memikirkan masa depan mereka yang tidak menentu. Walaupun selepas luput tarikh notis arahan tersebut MB ada dipetik oleh akhbar sebagai berkata bahawa para peniaga akan dipaksa pindah juga selepas Raya, namun tiada satu surat rasmi pun yang dikeluarkan oleh lembaga yang diamanahkan untuk menjaga warisan negeri.

Ada yang menelefon di awal Ramadan lalu, saya nasihatkan kepada mereka agar kita banyak berdoa di bulan Ramadan yang mulia ini. Dan saya seru kepada para peniaga agar banyak bersabar, teruskan perniagaan sempena musim perayaan ini dan gandakan ibadat terutamanya di akhir-akhir Ramadan ini. Dan kita panjatkan doa supaya Allah izinkan mereka terus diberi peluang untuk berniaga sehingga suatu tempoh yang sesuai dan wajar.

Dalam perjumpaan ringkas pagi ini bersama beberapa peniaga tersebut, ada yang pantas menyahut seruan saya dengan kata-kata “kita doakan Toh mati!” dan disambut dengan gelak ketawa di kalangan yang mendengar, sambil ada yang mengaminkan. Mungkin itulah satu-satunya cara untuk para peniaga ini mendapat ruang untuk bernafas.

Jika Adun Bandar [YB Toh Chin Yaw] mati, maka suatu pilihanraya kecil terpaksa diadakan dalam masa 60 hari. Jikalah ianya benar-benar berlaku dan kerajaan meneruskan juga hasrat menghalau para peniaga ini ianya bagaikan suatu usaha “membunuh diri”. Pasti 200-300 undi akan ke pembangkang. Dengan sentimen pengundi kini yang tidak lagi setia dengan UMNO?MCA/MIC/BN akhir-akhir ini, kerajaan wajar berhati-hati dalam tindak-tanduk mereka.

Malah di kalangan peniaga dan para pekerja di situ sudah bertekad di hati mereka tidak akan mengundi BN lagi. Lebih separuh dari hampir 300 peniaga dan pekerja yang terlibat dengan arahan ini adalah pendundi DUN Bandar. Mereka mengungkit bahawa di antara janji semasa pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu awal tahun lalu, jentera kempen BN kepada para peniaga terbabit ialah mereka akan kekal di tapak perniagaan mereka sehingga tapak alternatif disediakan. Harus diingat bukan mereka sahaja – mereka juga ada saudara mara dan sahabat handai yang turut bersimpati.

Di antara janji yang masih terpahat dalam ingatan Uncle How, koordinator bersama saya, ialah projek pembangunan Kg Tiong yang terlebih dulu akan dilaksanakan barulah di Jalan Bandar. Namun kini itu semua tinggal janji politik pilihanraya sahaja. Janji-janji manis yang dibiasa ditabur setiap kali ada pilihanraya.

hmmm … kalaulah begitu … agaknya itulah sahaja cara para peniaga boleh diselamatkan. Ada siapa lagi nak mengaminkan?

“Mungkin satu lagi pilihan ialah untuk para peniaga mengadu nasib mereka kepada Tuanku Sultan (Agong)”, kata seorang lagi peniaga yang telah berniaga di sekitar itu semenjak 20 tahun. Tetapi disapuk seorang lagi, “takkan Agong nak bantah kot – ini projek dapat kepada adiknya”. Wow! Itu berita baru bagi saya. Apakah benar begitu?

Lantas saya menjawab, “setakat saya berkawan dengannya secara sikit-sikit lama-lama dulu dan setakat membaca watak dan pemikirannya dari jauh-jauh, saya tidak merasakan Tuanku seorang yang tidak prihatin rakyat.” Malah mungkin inilah peluang terakhir untuk mendapat perhatian dan prihatin Tuanku agar menitah kerajaan negeri memberi ruang masa yang sewajarnya kepada para peniaga.

Masalahnya dengan projek yang dikatakan hendak dibangunkan di situ ialah tidak siapa yang benar-benar tahu apakah bentuk projeknya, siapa kontraktornya dan sebagainya. Tidak seperti biasa, apabila sesuatu tapak hendak dibangunkan, pemaju diarah meletakkan papan tanda maklumat projek. Tetapi dalam kes ini ianya agak istimewa. Tiada papan tanda.

Kalau tiada papan tanda apakah bermakna projek belum diluluskan? Mungkin benar belum ada kelulusan (seperti mana kata Dato Mazlan Ngah – ahli lembaga LTAWNT). Kalau tiada kelulusan lagi – kenapa tidak sabar-sabar nak halau peniaga hinggakan menganggu habis perancangan perniagaan mereka untuk mengambil kesempatan musim perayaan.

Memang pelik. Projek pembangunan atas tapak deretan kedai yang bersejarah ini memang pelik. Laporan dan ulasan seterusnya akan disusuli. Yang penting, kepada para peniaga – harap bersabar dan teruskan perniagaan anda. Kepada semua dan yang bersimpati – tadahlah doa agar projek ini ditangguh sehingga suatu perbincangan yang menyeluruh dapat diadakan.

Sebagai rasa simpati kepada para peniaga – kita panjangkanlah lagi rintihan nasib mereka ini dengan memperluaskan sebaran keluhan mereka.

Dan bagi pencinta warisan yang menghargai tinggalan sejarah – usahakanlah dengan apa-apa cara sekalipun untuk menyuarakan bantahan anda terhadap usaha merobohkan warisan sejarah yang tersegam tegap di sebelah Pasar Kedai Payang.

.

.

** jawatan koordinator ini adalah yang saya sendiri lantik dalam usaha membela nasib para peniaga setelah memikirkan kepiluan dan titisan air mata mereka yang tiada hala tuju untuk meminta nasihat dan panduan selepas menerima notis tersebut – wakil rakyat tidak jenguk-jenguk …

Para peniaga secara kumpulan kini telah membuat pelbagai rayuan melalui pelbagai saluran yang mungkin untuk memohon agar notis mengosongkan deretan bangunan lama dan bersejarah di Jalan Bandar dan Jalan Banggol dapat ditangguhkan.

Beberapa hari lalu sekumpulan peniaga Melayu telah berjumpa dan merayu belas dan ihsan dari Tuan Haji Talhah Setiausaha LTAWNT (yang menandatangan arahan notis tersebut). Namun, para peniaga tersebut mengatakan mereka dihampakan.

Pagi tadi sekumpulan lagi para peniaga pelbagai bangsa sekali lagi ke pejabat Haji Talhah merayu agar mereka diberi ruang untuk mengadu nasib mereka dan memohon penangguhan notis tersebut. Janji Tuan Haji Talhah ialah bahawa dia akan membawanya untuk diputuskan dalam mesyuarat. Alangkah terkejutnya, tidak sampai beberapa jam selepas itu, para peniaga menerima surat rasmi bahawa rayuan mereka ditolak dan arahan notis mengosongkan deretan bangunan lama yang bersejarah tersebut kekal.

Para peniaga turut memohon sokongan Adun Bandar, untuk menyokong serta membela nasib mereka dan sebagai ahli majlis exco Negeri semoga dapat melakukan sesuatu untuk merayu penangguhan arahan tersebut.

Terbaru, dalam mesyuarat petang tadi, para peniaga juga memohon agar Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) dapat membantu mereka dalam usaha merayu kepada pihak LTAWNT agar diberi masa yang munasabah kepada para peniaga untuk mencari serta mengubahsuai premis baru serta memberi masa yang sesuai untuk berpindah. Mereka juga merayu kerajaan memberi pampasan yang munasabah untuk menanggung kos perpindahan yang terpaksa ditanggung ini.

http://warisantrengganu.wordpress.com/

Hari ini Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terenggganu (LTAWNT) mengeluarkan notis menghalau para peniaga di deretan kedai Jalan Bandar/Kg. Cina dan sebahagian Jalan Banggol/Paya Keladi untuk meruntuhkan bangunan yang bersejarah demi “pembangunan kompleks Paya Keladi”.

Notis bertarikh 13 Julai 2009 menyuruh para peniaga di kawasan terlibat keluar dalam masa 30 hari dari tarikh notis (walaupun notis hanya diserahkan kepada para peniaga pada hari ini 19 Julai 2009). Ini bermakna para peniaga hanya mempunyai lebih kurang 3 minggu untuk mengosongkan premis perniagaan mereka.

Jalan Kedai Payang

Nampaknya satu demi satu tapak dan premis bersejarah negeri Terengganu menyembah bumi demi pembangunan untuk membina tamadun.

Gambar di atas menunjuk (tanda X) dua bangunan bersejarah yang telahpun lama hilang dari muka bumi ini. Yang sebelah kiri kini adalah tempat letak kereta Pasar Payang manakala yang ditengah ialah Jam Besar yang amat bersejarah digantikan hanya dengan jalan berturap tar tanpa apa-apa erti kepada sejarah. Kini bangunan sebelah kanan (tanda panah) pula yang hendak dimusnakkan.

Ketika cuba mendapat maklumat lanjut dari LTAWNT tidak membuahkan apa-apa penjelasan kerana kesemuanya amat jelas tidak berani memberi komen. Walhal para peniaga tertanya-tanya apakah tindakan yang harus mereka ambil dalam tempoh yang amat singkat.

Ada peniaga yang telah mula menambahkan stok mereka bagi menyediakan kedatangan Ramadan dan sambutan Raya Aidil Fitri. Kebanyakkan mereka merungut bahawa di dalam suasana ekonomi yang amat tidak menggalakkan mereka berdepan pula dengan suasana paksaan kerajaan untuk berpindah.

Para sejarahwan mula bertanya kewajaran tindakan kerajaan. Malah mereka mempersoalkan pula lembaga untuk amanah warisan negeri tetapi memusnahkan warisan yang berharga. Di sinilah bermulanya para peniaga negeri Terengganu lebih seratus tahun lalu. Di sinilah terletaknya kedai-kedai yang bersejarah yang banyak disebut di dalam buku unik “Growing Up in Trengganu” karangan Awang Goneng (Wan Hulaimi). Malah, satu-satunya kedai yang masih kekal perniagaan asalnya dari mulanya masih bertapak di premis asalnya Alam Akademik Sdn Bhd. (Keda Pok Loh Yunang).

janganlah diroboh lagiTOLONG SELAMATKAN WARISAN-WARISAN YANG ADA DI TERENGGANU.

Sudah cukuplah satu demi satu bangunan bersejarah yang telah ranap menyembah bumi.

Jangan hanya berslogan:

Memahat Sejarah Mencipta Tamadun

tetapi bertindak secara:

Meruntuhkan Tamadun dengan Melupakan Sejarah

Ingatkan saya …

... dalam pelbagai pertemuan dengan saudara-saudara sekalian, terutama selepas mana-mana sesi taklimat, kadang-kadang ada yang meminta sesuatu dari saya. Kerap kali dalam kesibukan serta kelemahan saya sendiri, ada ketika janji-janji tersebut terlupa saya tunaikan ... tolong ingatkan saya. PM di FB saya atau emel kepada saya akarimomar.wordpress.com/about

***

akarimomar Youtube Channel

Click here to go to my Youtube Channel:
http://www.youtube.com/akarimomar

Buku-buku Armies of God dan Sang Nila Utama & Lion of Judah MESTI DIBACA

Tulisan Mr. Iain Buchanan yang mendedahkan agenda Evangelis Kristian ...
Untuk tempahan dan pesanan.

Buku2 Iain - poster1

.

Bicara Promoter LGBT

Maulid Pelajar Tahfiz

Tembakan Bedil di Bukit Pak Apil

Klik untuk tonton

Buku-buku Karangan Awang Goneng: Growing Up in Trengganu + A Map of Trengganu

DAPATKAN NASKAH ANDA SEKARANG !!!
Klik imej:

.

PLACE YOUR ORDER NOW !!!
SMS: 019-3199788 (Karim)
email: akarimomar@yahoo.com

Bacaan Hizib

Archives

Effective Islamic Parenting

May 2024
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Taqwim Solat – Prayer Time

Al Masjid – Memakmurkan masjid

Sinopsis Kitab Fiqh Akbar

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 361 other subscribers

Tauhid