bersambung dari: Percanggahan Syiah – ajaran Islam

oleh Ismail Mina Ahmad

UIMA-Syiah-Utusan29Jun2013.pngSEPANJANG sejarah Islam, bermula dari zaman Saidina Ali RA lagi, firqah atau golongan Syiah yang menolak Mushaf Uthman dan mengkafirkan Sahabat dan Ummahatul Mukminin, telah dihukum kafir. Imam Abi Muzaffar al-Isfarayni dalam Tabsir fi ‘d- Din-nya telah memberi fatwa, bahawa orang yang solat di belakang penganut Syiah yang iktikad mereka seperti ini, wajib mengulangi solatnya. Khomeini ialah antara orang yang mengkafirkan Sahabat!

Untuk makluman, semua ulama dunia Islam dari Maghribi, Turki, hingga Indonesia, menolak Syiah. Mereka termasuklah Said Hawwa, Syed Abu Hasan Ali an-Nadvi, Syed Muhammad al-Maliki, Yusuf Qaradhawi, Habib ‘Umar dan seluruh ulama Hadramawt, ulama Lucknow dan seluruh ulama benua kecil India, ulama al-Azhar dan banyak lagi.

SYIAH DI MALAYSIA

Perkembangan Syiah di Malaysia amat membimbangkan. Ini adalah kerana mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh, rangkaian antarabangsa serta mendapat sokongan dan pembelaan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik tempatan.

Dari segi kewangan, mereka berjaya membina pelbagai jenis perniagaan dengan rangkaian yang banyak dan besar. Mereka mempunyai perniagaan strategik dengan memiliki restoran dan menjadi pengeluar serta pengedar barangan makanan dan minuman serta produk kesihatan. Jenis perniagaan ini berkaitan dengan orang ramai secara langsung. Ini adalah mekanisme yang baik untuk menyebarluaskan dakyah mereka.

Dalam suatu perhimpunan Bersih, mereka pernah mengagihkan air mineral keluaran mereka secara percuma kepada para demonstran. Mereka juga mempunyai rangkaian pendidikan dan tadika yang banyak serta pusat-pusat penyebaran ajaran mereka dengan pelbagai nama di pelbagai tempat.

Mengenai rangkaian antarabangsa pula, mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Syiah di Iran. Syiah Iran membantu mereka membina rangkaian perniagaan dan membekalkan literatur serta pendakyah di sini. Dari segi politik pula mereka mempunyai hubungan erat dengan sebuah parti politik Syiah terbesar di Lebanon yang radikal.

Sementara itu dalam negara ini pula, mereka mendapat sokongan, pembelaan dan perlindungan daripada beberapa NGO Islam serta parti politik.

Ini ditambah pula dengan kedatangan mulah-mulah Syiah bertali arus dijemput menghadiri wacana-wacana dan perjumpaan-perjumpaan sulit dengan kumpulan mereka, selain daripada kebanjiran pelajar-pelajar Syiah di pusat-pusat pengajian tinggi.

Perlu kita fahami, Syiah seperti juga gerakan Zionis-Kristian, berusaha menguasai parti politik dan NGO Islam yang berpengaruh. Mereka pandai menyusun strategi dengan menjadikan aktivis ini sebagai anak catur mereka dalam rangka menguasai organisasi tersebut.

Strategi ini agak menjadi, walaupun belum berjaya sepenuhnya. Pada suatu ketika, mereka berjaya menguasai sebuah persatuan ulama di Malaysia. Dan kini mereka berjaya meletakkan orang mereka dalam sebuah parti politik sehingga memegang jawatan penting.

Kepada pengagum dan pengusung Syiah dan Khomeini di Malaysia, mereka perlu tahu sikap sebenar beliau kepada Ahli Sunnah wal Jamaah. Khomeini telah mengkhianati Mufti Ahmad Zadeh, rakan seperjuangannya semasa menjatuhkan Shah Iran dahulu. Selepas berjaya menjatuhkannya, Shah telah dipenjara oleh Khomeini. Beliau jatuh sakit di dalam penjara tanpa rawatan secukupnya.

Apabila kesihatan beliau semakin teruk, beliau dipindah dari penjara besi ke penjara rumah pula dan tidak dibenarkan berubat ke luar negara. Kenapa? Kerana Mufti Zadeh seorang Sunni! Banyak juga imam masjid dan pendakwah Islam Sunni terpaksa lari ke Pakistan semasa pemerintahan Khomeini.

PENUTUP

Ajaran Syiah benar-benar meruntuhkan ajaran Islam kerana mereka menghalalkan yang haram seperti nikah mutaah, solat jamak sepanjang masa dan paling parah ialah menolak Quran Mushaf ‘Uthman dan Hadis Nabi yang menjadi sumber dalam hukum-hakam Islam. Apa akan terjadi? Islam jenis ini bukan agama Islam lagi!

Kaedah mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Justeru untuk membendung penularan virus Syiah dalam kalangan masyarakat Ahli Sunnah wal Jamaah di negara kita, umat Islam perlu mendalami dan memperkemaskan serta memperkasakan akidah dan syariat mereka. Mereka perlu mempelajari kitab-kitab muktabar dalam subjek Usuluddin-‘Aqidah-Tauhid dan juga Hukum hakam Fiqah. Ilmu-ilmu ini akan dapat menjadi neraca dan kayu pengukur dalam menyuluh kebatilan ajaran Syiah itu.

Selain daripada menekuni dan memantapkan ilmu-ilmu dalam wacana Ahli Sunnah wal Jamaah, usaha-usaha pencegahan melalui undang-undang dan peraturan serta tindakan bersepadu perlu disegerakan.

Pihak berkuasa agama negeri dengan kerjasama pasukan polis perlu melipatgandakan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka. Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar Negeri perlu mengawasi kedutaan Iran supaya mereka tidak menyebarkan buku-buku Syiah kepada masyarakat Islam. Sementara pihak Imigresen pula perlu menghalang pendakyah-pendakyah Syiah daripada memasuki negara ini. Kementerian Pendidikan pula patut mengurangkan pengambilan pelajar dari negara Syiah atau dari kalangan penganut Syiah.

Perkara ini bukan luar biasa, kerana kita pernah melakukan polisi ini ketika Perang Dingin dahulu yang mana pelajar dari negara-negara Komunis dikenakan tapisan dan sekatan. Selain itu, kerajaan juga perlu menghalang pelajar kita daripada belajar di pusat-pusat pengajian Syiah. Ini juga pernah dilakukan oleh kerajaan semasa ancaman Komunis satu ketika dahulu. Bahkan kerajaan perlu mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri atau yang setara dengannya. Ini semua adalah mekanisme yang bertujuan untuk memelihara kesucian ajaran Islam.

Selain itu, untuk membantu mencegah penularan virus Syiah di Malaysia, organisasi-organisasi Islam, baik NGO atau pun politik, patut mengisytiharkan secara terbuka, yang organisasi mereka menolak ajaran Syiah daripada berkembang di Malaysia sama seperti mereka menolak fahaman Komunisme.

Mereka juga perlu memastikan yang fahaman Syiah ini tidak ada dalam organisasi mereka. Jika didapati ahli-ahlinya beramal atau cenderung kepada fahaman Syiah, perlu dicegah segera dengan mengajar mereka fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar berdasarkan teks-teks muktabar. Sekiranya mereka masih berdegil tidak mahu kembali kepada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, tindakan memecat adalah pilihan paling baik. Pas patut mendahuluinya dalam perkara ini.

Kita perlu bertegas dan tidak perlu melayan dengan desakan dan asakan puak yang kononnya memperjuangkan hak kebebasan. Dari satu perspektif, dalam Islam tidak ada kebebasan mutlak. Diri kita pun bukan milik kita. Perjalanan hidup kita pun ditentukan oleh Allah SWT seperti cara-cara beramal dan bermuamalah. Kita tidak boleh bersolat atau berpuasa dan lain-lain ibadat dengan cara dan kaedah ciptaan kita sendiri.

Dari satu perspektif lain, pada paras individu, kita memang ada kebebasan, tetapi kebebasan mesti dalam lingkungan dan batas-batas syariat. Seseorang bebas berzikir bersendirian semahu-mahunya, berinfaq sebanyak-banyaknya dan membaca al-Quran berkali-kali khatam, tetapi mereka perlu ingat, bahawa mereka tidak boleh menjerit membaca al-Quran dengan kuat di tengah malam buta semasa orang lain sedang tidur, kerana kebebasan individu tidak boleh mengatasi kebebasan masyarakat.

Maka dalam konteks perkembangan ajaran Syiah di Malaysia ini, soal hak kebebasan beragama tidak timbul, kerana mereka menggunakan jenama Islam untuk merosakkan Islam sama seperti ajaran Qadiyani, Khawarij, Muktazilah, Mujassimah, Karramiyah, Nabi Melayu, Ayah Pin, pluralis agama dan lain-lain.

Agama Islam ini adalah hak Allah SWT dan manusia hanya menjadi pemegang amanah-Nya sahaja. Justeru, pemerintah dan setiap individu Muslim wajib melaksanakan amanah ini dengan memelihara kesucian ajaran Allah SWT dan menyekat aktiviti yang boleh merosakkannya seperti kita menjaga al-Quran daripada diubah atau dihina oleh seseorang.

Justeru, Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) sebuah organisasi dakwah Islam, mengambil inisiatif menganjurkan satu program khusus membincangkan mengenai kesesatan ajaran Syiah dalam Seminar Mendepani Virus Syiah. Seminar sehari ini, akan berlangsung pada 6 Oktober akan datang, bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur. Insya-Allah.

PENULIS ialah Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130730/re_05/Pendirian-ulama-Islam-tentang-Syiah#ixzz2aV1D4MFh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements