Utusan-cegah pluralisme AKOsumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 18 Mac – Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) meminta pihak berkuasa agama di semua peringkat mengambil langkah mencegah gerakan pluralisme agama dengan apa cara sekalipun.

Setiausaha Agungnya, A. Karim Omar berkata, langkah itu perlu memandangkan masih ada individu dan organisasi yang tetap berpegang kepada fahaman pluralisme agama walaupun kerajaan dengan jelas mahu mengekang ideologi berkenaan.

Katanya, antara pandangan terbaru yang terus berpegang kepada fahaman itu dapat dilihat pada artikel Ketua Eksekutif Institut Pengajian Lanjutan Islam (IAIS), Dr. Mohammad Hashim Kamali bertajuk Islam’s religious pluralism in context yang disiarkan akhbar The New Straits Times, 8 Februari lalu.

”Justeru pihak berkuasa agama wajar memanggil individu atau organisasi yang menganut fahaman pluralisme agama untuk diberi kaunseling, nasihat dan ajaran mengenai akidah Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

A. Karim juga mahu kerajaan menyiasat Institut Kajian Dasar (IKD) yang dilihat mendokong fahaman itu dengan mengadakan seminar serta menerbitkan pelbagai buku bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm