Gambar contoh: Pinggan mangkuk China Fine Bone menjadi koleksi kegilaan sesetengah orang

Sumber: Utusan
PUTRAJAYA 7 Mei – Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan penggunaan pinggan mangkuk atau perhiasan daripada tulang babi atau Bone China adalah haram.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, biarpun tulang tersebut sudah bertukar rupa selepas diproses hingga menjadi abu ia masih dikategorikan sebagai najis berat.

Katanya, ia berdasarkan hukum syarak yang mengharamkan apa jua peralatan diperbuat daripada babi.

“Pada umumnya muzakarah berpandangan peralatan pinggan mangkuk yang dibuat daripada tulang babi walaupun sudah dihancurkan tidak dibenarkan.

“Pihak kami dimaklumkan sebanyak tujuh juta babi disembelih untuk tujuan ini. Biarpun sudah menjadi debu dan dibentuk seperti cawan hukumnya masih haram pada syarak,” katanya ketika ditemui selepas Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-99 di sini, semalam.