KUALA LUMPUR 21 Mei – Usaha menggembleng ilmu, ekonomi, kuasa dan media penting dalam menyediakan benteng agama yang kukuh di negara ini.

wacanaASWJ-ZaidiPensyarah Jabatan Syariah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamad Zaidi Abdul Rahman berkata, ilmu boleh diangkat menjadi teras dan pelindung utama bagi memastikan kemurnian mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Kegunaan asasnya, boleh berdepan cabaran berbentuk fahaman yang lazimnya mengelirukan, disantuni dengan memberi kefahaman yang benar. Ini adalah sebahagian usaha besar ulama silam menghadapi pelbagai ancaman fahaman yang mencabar kemurnian ASWJ.

“Saluran penulisan dan lisan diangkat yang pada masa itu sebagai salah satu medium memberi pencerahan kepada makna-makna yang perlu dipegang oleh umat,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu: Strategi Memperkasakannya’ dalam Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-6 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Zaidi berkata, usaha ulama silam boleh diperluaskan pada masa ini khususnya melalui teknologi yang semakin canggih terutama dengan menguasai kepesatan media massa dan elektronik.

“Jika dahulu, cabarannya mengambil masa yang agak lama, kini setiap saat lahir kepelbagaian maklumat yang memerlukan jawapan dan penyelesaian dengan segera.

“Justeru, penguasaan kepada penggunaan kecanggihan multimedia bukan sahaja dapat menyalurkan maklumat tetapi boleh menjadi perencah di kala masyarakat telah terbiasa dengan budaya hedonisme,” katanya.

Tambah beliau, penerokaan genre-genre lain seperti nyanyian, drama dan kartun yang disulami mesej-mesej ASWJ boleh memberi alternatif kepada masyarakat yang mempunyai kepelbagaian latar belakang kehidupan.

Sektor ekonomi juga katanya, berperanan sebagai pelicin kepada banyak perancangan dalam pemeliharaan kesucian agama di negara ini.

Menurutnya, kerja-kerja tersebut memerlukan dana yang besar bagi membiayai aktiviti penyelidikan, penyampaian penyiaran dan percetakan serta keperluan logistik.

“Akhirnya, komponen kuasa turut menjadi pelengkap kepada benteng memperkasa ASWJ. Saluran ini boleh memberi impak yang segera khususnya bagi menyelamatkan akidah ummah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, terdapat keperluan mencipta gandingan ulama-ulama yang harmoni agar kedua-duanya saling menyokong bagi memantapkan perjalanan agama dan negara ke landasan yang diredai Allah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140522/dn_04/Empat-elemen-perlu-dikuasai-umat-Islam#ixzz32S9MDGXr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisement