KUALA LUMPUR 21 Mei – Keputusan kerajaan untuk memperkasa dan mengembalikan kegemilangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) merupakan satu langkah tepat bagi mengekang pelbagai ancaman yang boleh menggugat pegangan umat Islam di negara ini.

Zamihan Mat ZinPresiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA), Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, pihaknya menyambut baik komitmen yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berharap inisiatif tersebut dapat membimbing umat Islam supaya terus berada pada landasan akidah sebenar.

“Ancaman Syiah, Wahabi, liberalisme serta pluralisme ini jika tidak diawasi serta dikawal dari awal lagi, akan membawa kecelaruan kepada fahaman Islam sekali gus menggugat ASWJ yang selama ini menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

“Justeru, penekanan serta perhatian serius oleh kerajaan dilihat begitu penting dalam menjamin kelangsungan negara sebagai pusat ASWJ yang sebelum ini turut menjadi panduan ulama terkemuka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, ketika merasmikan Seminar Pencerahan Tassawur ASWJ, Muhyiddin menegaskan, umat Islam di negara ini perlu diberi pendedahan secara berterusan tentang fakta-fakta pemesongan yang dibawa oleh fahaman liberalisme dan pluralisme agama serta bahayanya kepada akidah mereka.

Menurut beliau, kerajaan akan bekerjasama menyalurkan bantuan kepada para ulama, institusi dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperluaskan usaha dakwah dan tarbiah di negara ini di samping menyeru ulama dan ilmuwan Islam agar berusaha mengembalikan semula kedudukan negara ini sebagai pusat pengembangan ilmu ASWJ serantau.

Sumber: Utusan Malaysia