Akta Hasutan hendak dihapuskan. Mahu diganti dengan akta baru melalui pengubalan Rang Undang-undang Harmoni. Namun, sejak diheboh tentang RUU Harmoni, timbul beberapa kontroversi.

Sebenarnya Tanah Melayu sememangnya sudah harmoni dengan toleransi yang amat tinggi. Kehidupan yang penuh harmoni mulai terhakis akibat tuntutan-tuntutan melampau puak-puak yang ingin melaksanakan agenda jahat mereka.

Sebab itu, Akta Hasutan itu tidak perlu dihapuskan. Mungkin wajar ditambah baik dan diperketatkan lagi. Begitu juga dengan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) sebelum ini. Dalam pada boneka-boneka Barat melaungkan hak asasi manusia untuk menghapuskan ISA semasa UPR di Geneva tahun 2009, banyak negara kekalkan ISA seperti negara Singapura yang sangat dibanggakan puak-puak ini.

Malah, Amerika Syarikat, negara yang banyak membiayai kumpulan-kumpulan HAM ini, baru melaksanakan akta mirip ISA, Akta Patriot pada tahun 2001. Kenapa pula Malaysia dipaksa untuk gugur?

Begitulah perancangan JAHAT musuh yang tidak henti-henti (baca: Musuh Islam Sentiasa Mempunyai Rencana Jahat … Jangan Kita Lalai).

Kini Akta Hasutan mahu digantikan dengan Akta Harmoni. RUU Harmoni ini kononnya telah diterima oleh kerajaan untuk diluluskan ke Parlimen. Jika ianya terlaksana bala bakal menimpa umat Tanah Melayu ini. (Baca tulisan sahabat saya, Azril Mohd Amin: 8 sebab mengapa RUU Harmoni harus diwaspadai kandungannya)

Alhamdulillah, saya juga mendapat khabar, yang telah saya siarkan pada 19 Jun lalu, RUU Harmoni Bakal Berkubur.

draf RUU HarmoniRUU Harmoni dirangka oleh sebuah jawatankuasa kecil yang dipimpin oleh Mujahid Rawa di bawah Majlis Peguam (Bar Council). Kononnya mereka melakukannya di bawah Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN), yang turut dianggotai oleh Mujahid (boleh pulak MP PAS bersama dalam institusi kerajaan? Kenapa bantah sangat cadangan “Kerajaan Perpaduan” (UG) dulu?).

Susulan gerak kerja pelbagai NGO Islam yang berusaha untuk menyedarkan orang ramai berhubung ancaman dari RUU Harmoni ini, ianya telah menarik perhatian Majlis Raja-raja. Dan dalam Persidangan Majlis Raja-raja pada bulan lepas, satu sesi taklimat khas telah diadakan.

Perdana Menteri turut dipanggil hadir dalam taklimat khas tersebut. Bimbang dengan pembongkaran demi pembongkaran ancaman RUU Harmoni itu, PM Najib terpaksa mencelah serta memberi janji dan komitmen tidak akan meneruskan RUU Harmoni yang telah disediakan oleh Mujahid Rawa bersama Majlis Peguam tersebut. Itu JANJI Najib di hadapan Raja-raja Melayu.

Berselang beberapa minggu, Menteri berkaitan, Nancy Shukri, dalam kenyataan beliau ketika mengerjakan umrah di Mekah, menjelaskan bahawa draf RUU Harmoni belum bersedia untuk dibentangkan. (Kita doakan ianya berkubur terus)

Mengambil kira kepedulian para Duli-duli Raja-raja Melayu dengan apa yang bakal menghapuskan identiti Tanah Melayu dan menjadikan RUU Harmoni sebagai batu loncatan untuk menjadikan Persekutuan Malaysia sebuah REPUBLIK dan juga dari keresahan Najib semasa taklimat tersebut dibentangkan kepada Majlis Raja-raja, apakah nanti Najib masih berani melawan Majlis Raja-raja?

Jika Najib akur dengan janjinya di hadapan Raja-raja Melayu bulan lepas kita doakan ketegasan dan keberanian beliau untuk menghadapi ancaman kelompok Liberal yang menganggotai MPKN yang sekarang galak mempromosi RUU Harmoni tersebut.