UN-Geneva-UPRSESI pembentangan Malaysia dalam proses semakan berkala (UPR) di Geneva telah berlalu. Proses seterusnya adalah dijangkakan pada tahun 2017.

Alhamdulillah, kerajaan Malaysia telah menyatakan maklum balas yang cukup meyakinkan khasnya dalam mempertahankan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan, selain dengan jelas menolak cadangan beberapa buah negara anggota supaya Malaysia menandatangani beberapa perjanjian (covenant) antarabangsa dan juga mengiktiraf hak-hak LGBT (singkatan bagi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).

Antara negara yang terang-terang meminta supaya Malaysia mengiktiraf LGBT ialah Belanda, Kanada dan Argentina, selain itu juga bebebarapa buah NGO luar dan dalam negara mendesak agar Malaysia dan kerajaannya mengiktiraf golongan-golongan pengamal seks songsang ini melalui kenyataan-kenyataan seperti “…regrets Malaysia rejection of all recommendations related to sexual orientation and gender identity. Carnal intercourse against the order of nature is punished with imprisonment and whipping…Criminalisation of same sex conduct encourages and reinforces intolerance, abuse, discrimination and marginalisation – leading to an overall destabilisation of society…”

Walaupun pendirian Malaysia sudah jelas dalam hal yang berkaitan dengan LGBT, namun pihak Comango masih belum berdiam diri. Pada 21 Mac 2014, iaitu sehari selepas Malaysia membentangkan pendiriannya di HRC, pihak Comango telah mengadakan satu acara sampingan di Geneva. Antara yang berucap ialah wakil penganjur Seksualiti Merdeka, Thilaga Sulathireh, yang menyentuh isu LGBT ini secara terbuka malah menuduh pihak polis dan pihak berkuasa agama bertindak ganas terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender.

Thilaga memanipulasi isu ini apabila menuduh pihak berkuasa dan autoriti agama dengan perbuatan ‘mendiskriminasi’ golongan LGBT, sedangkan mereka berselindung di sebalik isu ini, dengan bermatlamat akhir untuk mendapat pengiktirafan perlakuan homoseksual secara bebas dan perkahwinan sesama jenis.

Pihak Comango dalam laporan mereka kepada proses kedua UPR Malaysia, dengan jelas menyatakan tuntutan mereka tentang hak LGBT yang mana mereka menyatakan bahawa “Malaysia refuses to recognise SOGI rights as human rights. Lesbians, bisexuals, gays, transgendered, inter-sexed and queer persons (LGBTIQ) are vilified, faced violence…” dengan memetik insiden-insiden seperti serbuan terhadap sebuah pusat mengurut yang menawarkan khidmat kepada golongan songsang ini, selain menuntut agar Malaysia mengkaji, meminda dan memansuhkan undang-undangnya agar mematuhi prinsip-prinsip Yogyakarta. Tindakan ini juga selari dengan tekanan-tekanan antarabangsa di UPR yang mengesyorkan agar Malaysia memulakan proses memansuhkan elemen-elemen perundangan Seksyen 377A, Seksyen 377B, dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang menyifatkan amalan seks di luar tabii itu sebagai perbuatan jenayah.

Saya percaya bahawa umumnya, masyarakat kini telah terdedah dan mengetahui akan polemik serta ancaman tuntutan hak asasi manusia yang dibawa oleh Comango pada sesi UPR Malaysia yang kedua ini (sesi pertama telah diadakan pada 2009). Namun mungkin juga terdapat pertanyaan dalam kalangan masyarakat tentang apakah itu LGBT, SOGI dan kini, Prinsip Yogyakarta?

Seksualiti-MerdekaKesinambungan kepada LGBT ini, telah wujud dasar SOGI (Sexual Orientation and Gender Identity) yang memperjuangkan kebebasan bagi mereka yang mengamalkan perhubungan seks songsang, semuanya di atas nama hak asasi manusia.

Bagi kelangsungan perjuangan mereka, suatu pertemuan kumpulan-kumpulan pakar hak asasi manusia telah diadakan di Yogyakarta pada 2006. Menurut mereka, sebagai suatu bentuk respons terhadap apa yang dirasakan sebagai pola penderaan dan penindasan terhadap golongan ini, maka diilhamkan Prinsip Yogyakarta 2006. Di dalamnya terkandung prinsip-prinsip hak asasi manusia yang bersifat ‘sejagat,’ mematuhi dan menuruti piawaian undang-undang antarabangsa yang mana kesemua negara di dunia ini harus patuhi. Setakat kini, dalam kerancakan dunia mencanang penerimaan budaya seks songsang ini sebagai satu bentuk hak asasi manusia, tinggal 76 negara sahaja yang tidak mengiktiraf homoseksualiti dan mengkategorikannya sebagai unsur jenayah.

Umat Islam di dunia kini, yang mengakui beriman kepada Allah dan berpegang pada al-Quran dan as-Sunnah, seharusnya menentang gerakan untuk membenarkan, mengiktiraf dan mempromosikan kegiatan mungkar ini. Malahan, penentangan ini juga tidak terhad kepada agama Islam memandangkan tidak wujud mana-mana agama lain yang mengiktiraf budaya dan kelakuan homoseksual ini.

Akhir tahun lalu, Mahkamah India telah menarik kembali pengiktirafannya terhadap LGBT dan penentangan ini bukan sahaja terdiri daripada umat Islam, bahkan juga penganut Hindu, Kristian berserta aktivis-aktivis lain. Keputusan yang sama juga dilihat di Australia. Keputusan-keputusan sebegini memberi harapan bahawasanya masih wujud nilai-nilai moral di negara-negara lain selain polemik yang timbul dalam kalangan mereka sendiri apabila aktivis-aktivis hak asasi manusia ini mahukan hak perlakuan beastiality (hubungan intim bersama haiwan seperti anjing dan kambing) seperti yang diperjuangkan oleh sebuah organisasi bernama Equality For All (EFA). Polemik juga timbul ekoran keputusan senat Amerika meluluskan undang-undang membenarkan askar-askarnya untuk bukan sahaja berperilaku homoseksual tetapi beastiality juga.

Merujuk kepada al-Quran sendiri dan pendirian Islam terhadap seks luar tabii, Allah telah menerangkan akan laknat-Nya terhadap kaum Nabi Lut (a.s) yang melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk (homoseksual), yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana kaum sebelum itu dalam Surah al-‘Ankabut, ayat 28-29.

Kisah kehancuran kaum Nabi Luth a.s ini juga telah dimaktubkan dalam al-Quran (Surah Hud, ayat 82) yang berbunyi: “Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.”

Persoalannya, adakah sanggup bagi seseorang Muslim untuk kita menidakkan perintah Allah SWT setelah datangnya peringatan daripada Rasulullah SAW, dan adakah kita lebih gagah daripada kaum Nabi Luth a.s? Di sini, saya amat tertarik dengan kenyataan seorang pendakwah terkenal iaitu Mufti Ismail Menk, dalam satu ceramahnya, telah menyatakan bahawa jika umat terdahulu melakukan satu jenis kemungkaran atau kemaksiatan, namun umat masa kini seperti berlumba-lumba melakukan kesemua kemungkaran dan kemaksiatan yang telah dinyatakan dalam al-Quran. Sesungguhnya, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang berbunyi, “Dari Jabir r.a., Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya yang paling aku takuti (menimpa) umatku ialah perbuatan kaum Luth.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Dalam hal ini, adalah amat wajar bagi umat Islam, dalam melaksanakan kewajiban al-amr ma‘ruf nahi munkar, selain bangkit untuk menentang gerakan fahaman hak asasi manusia yang bersifat sekular ini secara ilmiah, untuk juga mengamalkan pendekatan prinsip Sad al Zaraie dalam fiqh Islam (yakni menutup jalan yang boleh membawa keburukan).

Melihat kepada konteks ini, kita amat berterima kasih di atas usaha-usaha pihak kerajaan dan juga masyarakat setempat (baik persatuan guru dan lain-lain) dalam usaha mendidik para guru dan ibu bapa mengenal pasti anak-anak yang cenderung ke arah tersebut, selain usaha mendekati dan memulihkan golongan yang terjerumus dalam kancah seks songsang.

Antara cadangan usaha itu ialah diwujudkan dana untuk tujuan kaji selidik mengenal pasti dan mencegah fahaman luar tabii selain menyekat penularan budaya mempromosikan budaya lelaki menjadi perempuan dan seangkatannya, yang kian hari kian galak dilakukan.

Selain itu, kita berharap dengan adanya kerjasama yang erat antara pihak-pihak yang prihatin, dapat dibentuk sebuah gerak kerja mantap dalam menyelidiki dan seterusnya menentang serta mencegah penularan fahaman-fahaman atas hak asasi manusia yang dikatakan sebagai agama sekular dunia moden, yang mengancam nilai-nilai agama, secara ilmiah dan bersepadu. Ini kerana, pada hemat saya, kita amat bernasib baik pada kali ini selain usaha-usaha ini juga tidak akan terhenti di sini, sesuai dengan firman Allah yang berbunyi:

“Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” (Surah Al- A’raf; ayat 16-17).

oleh: NASHARUDIN MAT ISA

sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements