KUALA LUMPUR 16 Mac – Ancaman terhadap kedaulatan Islam di negara ini oleh Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) tidak akan terhenti pada sesi penerimaan muktamad di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Switzerland pada 20 Mac ini, sebaliknya dijangka berterusan.

azrilmohdaminKetua Delegasi Gabungan Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) ke Geneva, Azril Mohd. Amin berkata, berdasarkan apa yang berlaku sebelum ini, Comango dijangka terus membuat pelbagai tuntutan sehingga sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) berikutnya pada 2017.

Oleh itu, kata beliau, pihaknya meminta kerajaan supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman Comango kerana tuntutan berhubung hak asasi manusia boleh dibuat kepada UNHRC pada bila-bila masa.

“Ancaman Comango tidak akan terhenti setakat 20 Mac ini sahaja. Katakan kerajaan menolak tuntutan Comango pada 20 Mac ini, mereka akan timbulkan lebih banyak tuntutan dalam tempoh empat tahun ini.

“Ada proses dipanggil Prosedur Khas yang membolehkan UNHRC memulakan siasatan pada bila-bila masa sekiranya menerima aduan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

MUSLIMpro official logoAzril berkata, berdasarkan pertemuannya dengan beberapa pemimpin kerajaan baru-baru ini, beliau yakin kerajaan akan bertegas menolak tuntutan Comango yang mengancam kedaulatan Islam dan Perlembagaan Persekutuan semasa sesi penerimaan muktamad itu nanti.

“Saya juga sudah berjumpa dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Wisma Putra baru-baru ini. Mereka tahu pendirian MuslimUPRo berdasarkan memorandum yang kita hantar kepada Perdana Menteri tahun lepas,” katanya.

Menurut beliau, apa yang penting dan perlu dilakukan oleh kerajaan sekarang adalah mengatur strategi jangka panjang termasuk menubuhkan pusat kecemerlangan hak asasi manusia untuk menghadapi cabaran daripada Comango.

Katanya, pusat itu akan menjalankan penyelidikan dan menjadi tempat penerbitan pelbagai bahan ilmiah berkaitan dengan hak asasi manusia daripada perspektif Islam.

sumber: Utusan Malaysia

*****************

Lagi maklumat berkaitan UPR: