Tidak boleh disangkal lagi, aplikasi pelbagai media sosial seperti FB, Twitter, WhatsApp dan seumpamanya adalah menjadi suatu fenomena yang mengganggu jadual seharian kita berbanding 4-5 tahun lalu. Kalau dulu mungkin perkara terawal kita lakukan selepas solat subuh ialah kita membuka beberapa muka surat Al Quran. Tetapi kini ratusan mesej dari berpuluh grup yang hendak kita baca dan jawab.

Saya tidak dapat nafikan bahawa saya juga mempunyai berpuluh grup WhatsApp yang orang masukkan saya ke dalamnya. Dalam beberapa jam sahaja sudah beratus mesej terkumpul yang dicatat. Apakah mesti kita lalaikan masa kita dengan melayan semua mesej tersebut?

Bagi saya, saya tidak buka sebahagian besar mesej dari grup yang terlalu rancak. Kenapa? Sebab tidak sempat hendak kejar. Jika dilayan tak jadi kerjalah kita dibuatnya.

manfaatkan media sosialSaya juga elak untuk buka grup yang berbentuk alumni. Kenapa? Kerana lazimnya grup seperti ini banyak berfoya hal dan peristiwa lama, mengatur dan mengatur RU demi RU, sambil sesetengah pula asyik bernostalgik zaman jahiliyyah mereka, ada juga yang masih seronok berkongsi bahan-bahan lucah atau yang lagha, dan yang pasti mereka rancak apabila berkutukan dan menyebar fitnah yang pengirim sendiri hanya forward tanpa usul periksa. Kita kerap tidak menjaga adab susila pergaulan dan perbualan.

Dalam sebuah hadith,

Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Apabila tidak mampu maka hendaknya dengan lisannya. Dan apabila tidak mampu lagi maka dengan hatinya, sesungguhnya itulah selemah-lemah iman.

Mungkin dalam banyak ketika itulah kadar iman saya, lemah. Tidak mampu untuk setiap kali hendak menegur. Walaupun sesekali cuba diperbetulkan berita-berita palsu …

Contoh – Persatuan Melayu Murtad IFC,  World News Daily Report – PALSU !!! dan Mesej Bulan Mengelilingi Kaabah – Usah Percaya

Sebenarnya, dalam pada kita mengeluh isu-isu kemasyarakatan dan gejala sosial – sejauh mana kita ringankan tulang untuk melakukan yang terbaik untuk umat? Memang lumrahnya tin yang kosong memang bising bila tergolek.

Dalam kita mengejar usia ke alam kubur, kita terbawa-bawa dengan perasaan geram dan alpa. Kita lupa ketidaksempurnaan diri yang dulu kita pun mungkin sama bergelumang dengan kejelekan yang kini kita bercakap pasal orang lain. Dosa kita yang dahulu pun belum terjamin diampun.

Orang yang kita hina, kutuk dan fitnahkan itu sebenarnya mungkin adalah cerminan untuk kita melihat akan diri kita yang sebenar. Ini kerana jari-jari yang menekan gajet kita itu tidak dapat mengingatkan kita tentang alam kekal yang bakal kita tanggung segala apa yang akan terpahat dalam dunia maya.

Jika kita fahami konsep alam digital, kita sebenarnya patut lebih takut. Segala apa yang kita tekan dan petik – ianya tercatat dalam ribuan mungkin jutaan pelayan computer dalam rangkaian sistem di seluruh dunia yang menyimpan segala yang kita luahkan pada papan kekunci komputer mahupun telefon pintar.  Semua itu disimpan dalam awan-awan (clouds) yang entah berapa Terabyte, Petabyte, Exabyte, Zettabyte storan besarnya. Walaupun kita sudah padam di FB kita, ianya sudah terpahat dalam simpanan alam maya. Begitulah yang dilakukan oleh pakar forensik digital yang melakukan siasatan. Dan begitulah segala amalan kita di dunia ini ada tersimpan yang akan diadili nanti. 

Apakah sudah cukup amalan kita untuk kita bebani lagi dengan tanggungan yang tidak perlu?

Dalam sebuah hadith lain mafhumnya – seorang Muslim adalah orang yang selamat orang Muslim lainnya dari lisan dan tangannya.

Indahnya pengertiannya hadith tersebut. Sangat sesuai dan menepati di zaman fitnah akhir zaman ini. Biarlah lisan dan tangan kita selamat untuk Muslim yang lain.

Peringatan untuk diri saya sendiri yang banyak alpa. Bukan bertujuan untuk menyinggung sesiapa yang dapati saya tidak begitu responsif dalam banyak grup yang number telefon saya dimasukkan. Saya hanya sesekali mengirim perkongsian dari blog saya akarimomar.wordpress.com atau dari FB page saya www.facebook.com/akarimomarpage

Baca juga: