KUALA LUMPUR 16 Mac – Kerajaan diminta mendengar suara majoriti rakyat Malaysia untuk bertindak tegas menolak tekanan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) dalam sesi penerimaan muktamad syor pada 20 Mac ini.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kerajaan perlu tegas menolak sebarang syor yang boleh menjejaskan agama Islam, raja-raja Melayu dan kedaulatan Perlembagaan.

“Kita ada Perlembagaan yang sudah menunjukkan arah dan jati diri masyarakat Malaysia. Kita tidak boleh mengikut norma-norma antarabangsa yang tidak berteraskan kepada budaya dan agama Islam.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengikut suara majoriti rakyat Malaysia yang menolak tuntutan Comango yang bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

MUSLIMpro official logoSemalam, Ahli Jawatankuasa Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo), Nasharudin Mat Isa meminta kerajaan untuk tidak tunduk kepada tekanan Comango dalam sesi penerimaan muktamad syor di Geneva, Switzerland pada 20 Mac ini.

Malah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob juga sanggup memberikan apa sahaja bantuan dan sokongan kepada mana-mana pihak yang menentang tuntutan Comango.

Zainul Rijal berkata, beliau memuji langkah kerajaan Pahang untuk memberikan bantuan kepada NGO-NGO Islam untuk menentang sebarang tuntutan Comango pada masa akan datang.

“Isu ini tidak akan tamat pada 20 Mac, tetapi merupakan isu berpanjangan kerana semakan berkala sejagat akan diadakan lagi dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Jadi, kita akan terus mengadakan latihan di dalam dan luar negara untuk memberikan pendidikan dan menjalankan kajian tentang prosedur dalam isu hak asasi manusia ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Ibrahim Mohd. Hassan berkata, tuntutan Comango bukan datang daripada kemahuan rakyat Malaysia tetapi pengaruh luar yang cuba merosakkan negara.

Beliau berkata, bukan sahaja kerajaan yang menolak tuntutan Comango tetapi majoriti rakyat Malaysia sebenarnya menolak tuntutan tersebut yang bercanggah dengan Perlembagaan negara.

sumber: Utusan Malaysia

 

*****************

Lagi maklumat berkaitan UPR: